Buletin

NIGERIA AKAN HARAMKAN JUALAN DAN PENGGUNAAN MOTOSIKAL. SEKAT SERANGAN PENGGANAS

Dalam menangani serangan pengganas, kerajaan Nigeria mempertimbangkan larangan penjualan dan penggunaan motosikal di negara itu kerana ia dilihat dapat menjejaskan usaha logistik kumpulan berkenaan.

Menteri Kehakiman Nigeria, Abubakar Malami berkata “Langkah ini dibuat demi kepentingan negara. Sebagai sebuah negara, sebarang ancaman keselamatan memerlukan kami mengorbankan sesuatu untuk melindungi warga Nigeria.”

Rancangan itu dibuat ketika pihak berkuasa Nigeria cuba menyekat usaha pelbagai kumpulan pengganas jihad yang bertanggungjawab ke atas banyak serangan di seluruh negara seperti pembunuhan, penculikan dan keganasan seksual.

Menteri Kehakiman Nigeria, Abubakar Malami

Kebanyakan pengganas menggunakan motosikal untuk melancarkan serangan dengan cepat serta memudahkan pergerakan mereka tanpa dapat dikesan.

Tindakan kerajaan persekutuan itu dibuat selepas Gabenor Bello Mattawale dari negeri Zamfara memperkenalkan perintah berkurung ke atas pengguna motosikal di bandar Gusau. Dia kemudian mengarahkan anggota keselamatan menembak sesiapa yang ditangkap menunggang motosikal di antara jam 8 malam dan 6 pagi.

Dengan populasi lebih 200 juta orang, Nigeria ialah negara keenam paling ramai penduduk di dunia dan angka jualan motosikal tahunan mencecah 500,000.

Walau bagaimanapun, Malami tidak menganggap ini adalah pengorbanan yang sukar untuk dilakukan kerana hanya 20 peratus warga Nigeria menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama. Jadi, ia tidak menjejaskan lebih 200 juta rakyat Nigeria.

“Tidak kira apa cara yang sedang dipertimbangkan (kemungkinan pengharaman), ini adalah pengorbanan yang kita lihat sebagai usaha membantu menangani cabaran keselamatan. Saya fikir pengorbanan itu tidak terlalu banyak dan patut dipertimbangkan,” kata Malami.

Google ads
Back to top button