TOYOTA CROWN KEMBALI, SEDAN PREMIUM DAN TINGGI DARIPADA CAMRY!
Sejarah Toyota Crown boleh dijejaki pada tahun 1955 apabila diperkenalkan sebagai Toyopet Crown yang juga kenderaan penumpang keluaran massa pertama Toyota.
Crown juga merupakan kereta Jepun pertama yang dijual di Amerika Syarikat pada tahun 1958 dan dihentikan pada tahun 1972.
Semasa generasi pertama dibangunkan, Crown menjadi simbol inovasi dan kesungguhan luar biasa (pushing the limit) di dalam Toyota.
Hasilnya boleh dilihat pada Crown yang berdiri dengan sendiri sebagai sedan premium.
Merentasi 15 generasi, Crown dizahirkan melalui pelbagai konsep mengikut peredaran zaman termasuk gaya badan coupe dan wagon dengan yang terakhir tampil sebagai sedan sporti.
Satu lagi ciri utama Crown ialah menjadi pelantar teknologi inovatif Toyota.
Seperti yang dikatakan, Crown mempunyai aura dan reputasi yang tersendiri bagi menjulang nama Crown yang dipegang.
Melalui prestij tersebut, Toyota sekali lagi meletakkan inovasi dan kesungguhan luar biasa untuk Crown baharu dan setelah berpuluh tahun model premium ini kembali ke pasaran Amerika Syarikat.
Kakitangan Toyota daripada bahagian perancangan produk, reka bentuk dan kejuruteraan telah bekerja secara bersama bagi memberi identiti Crown era baharu.
Hasilnya boleh dilihat pada Crown generasi ke-16 yang tampil serba moden, unik dan melambangkan trend semasa dan masa depan.
Tidak perlu diulas panjang dan dari gambar sudah terlihat keunikan Crown baharu.
Crown 2023 seperti generasi sebelumnya kekal sebagai sebuah sedan mewah dan dibangunkan daripada platfrom GA-K.
Selain rekaan depan yang menonjol, satu lagi aspek yang jelas ialah bentuk badan tinggi. Berbanding Camry, ukuran Crown hampir empat inci lebih tinggi.
Ukuran tersebut menyumbang kepada jarak penglihatan lebih baik selain senang untuk masuk dan keluar kereta.
Bahagian belakang juga unik, lampu halus melintang dengan dinding dan but tinggi dan besar.
Untuk pasaran Amerika Syarikat, Crown 2023 ditawarkan dalam tiga varian iaitu XLE, Limited dan Platinum.
Crown digerakkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa hibrid HYBRID MAX atau Toyota Hybrid System (THS) generasi keempat.
HYBRID MAX adalah nadi hibrid berprestasi Toyota dan Crown 2023 menjadi sedan pertama Toyota yang ditawarkan sistem tersebut dan eksklusif untuk Crown Platinum dengan anggaran kuasa 340 hp.
Sistem itu dipadan bersama enjin 2.4 liter turbo dan transmisi automatik enam kelajuan dengan karakter HYBRID MAX mengeluarkan tork berkuasa pada RPM rendah untuk pemanduan yang sporti.
Dua lagi varian iaitu Crown XLE dan Limited menggunakan enjin 2.5 liter dan THS.
Crown XLE dilengkapi pacuan semua roda (AWD), tiga mod pemanduan, roda 19 inci, kerusi depan fabrik dengan fungsi pemanas, skrin sentuh 12.3 inci Toyota Multimedia System dan enam pembesar suara.
Crown Limited pula ditambah lampu utama LED multibeam, bumbung panoramik, kerusi balutan kulit dengan fungsi pemanas untuk depan dan belakang dan fungsi pengudaraan di depan.
Turut dilengkapi penggilap cermin dengan pengesan hujan, sonar pintar dengan pembrekan lintasan belakang dan sistem audio JBL dan11 pembesar suara.
Selain canggih dengan teknologi HYBRID MAX, Crown Platinum menggunakan Suspensi Boleh Ubah Adaptif, enam mod pemanduan, Advanced Park dan roda 21 inci!
Kesemua varian Crown 2023 didatangkan dengan Toyota Safety Sense 3.0 sebagai ciri standard dan akan tiba di pengedar Toyota Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa bulan lagi.
BACA: TOYOTA CROWN 2020, SEDAN MEWAH LAGI SPORTI