Buletin

BOT PERONDA TENTERA LAUT NIGERIA BUATAN MALAYSIA. SIAPA KATA SYARIKAT TEMPATAN TAK POWER?

Empat bot peronda pesisir pantai MK11 milik Tentera Laut Nigeria bernilai RM32 juta berjaya disiapkan syarikat pembinaan dan pembaikan kapal tempatan, Northern Shipyard Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Pulau Langkawi, Kedah.

Setiap unit bot peronda berharga antara RM6 juta hingga RM10 juta itu dibina mengikut spesifikasi yang diminta seperti peralatan serta persenjataan amat sesuai untuk penugasan mengawal sempadan, keselamatan pesisir pantai serta aktiviti menyelamat.

Manta MK11 adalah sebuah bot peronda pesisir pantai sepanjang 17 meter dan 4.3 meter lebar direka bentuk dari Itali menggunakan dua enjin masing-masing 1,200 hp dari Jerman yang boleh mencapai kelajuan sehingga 50 knot. 

Pengurus Teknikal Northern Shipyard, Masmawi Ishak berkata, pihaknya memulakan pembinaan bot tersebut pada Februari lalu selepas mendapat tempahan daripada syarikat dari Singapura, Suncraft International Pte Ltd dan tentera laut berkenaan.

“Empat bot itu berjaya disiapkan dalam tempoh 10 bulan sahaja dengan menggunakan tenaga kerja dan kepakaran anak tempatan Langkawi.

“Bot  berkenaan memenuhi standard antarabangsa seperti kalis peluru, berkelajuan tinggi sehingga mencatat kelajuan 55 knot sejam serta memiliki peralatan canggih.,” katanya  – Bernama/ K! ONLINE

Google ads
Back to top button