
NISSAN 370Z NISMO 2015
Nissan baru-baru ini membuat kejutan pada acara ZDAYZ di Amerika Syarikat apabila memperkenalkan Nissan 370Z NISMO 2015. Model itu menampilkan kehalusan pada bahagian luaran, dalaman dan prestasinya.
Untuk makluman, ZDAYZ adalah perhimpunan tahunan para pemilik dan peminat jentera Nissan, Datsun serta Nismo.
“Model ini menyertai barisan model Nissan GT-R NISMO dan Nissan JUKE NISMO RS yang menawarkan pelanggan dengan model-model talaan NISMO,” kata Ketua Pegawai Perancangan dan Naib Presiden Eksekutif Nissan, Andy Palmer.
Perubahan ketara yang dapat dilihat pada jentera ini ialah penampilan luarannya. Diinspirasikan oelh model GT-R, rekaannya nyata agresif dan aerodinamik. Ia meliputi fascia hadapan dengan lampu DRL LED, emblem NISMO dan calitan warna merah pada spoiler hadapan serta beberapa komponen lain.
Penampilan jentera itu diserlahkan lagi menerusi penggunaan rim aloi aluminium tempaan yang sangat ringan jenama RAYS.
Ruang kabin pula menempatkan tempat duduk kulit Recaro bersama kemasan Alcantara. Tempat duduk itu dibangunkan khas dengan Recaro untuk 370Z NISMO. Kabin itu juga diserlahkan melalui sulaman logo NISMO dan tachometer NISMO berwarna merah.
Nissan 370Z NISMO dijana oleh unit enjin bersesaran 3.7 liter DOHC V6 dengan sistem Variable Valve Event and Lift Control (VVEL). Ia berupaya menghasilkan kuasa mencecah 350hp. Enjin tersebut dipadankan dengan sistem ekzos yang membantu menambah kuasa sehingga 18hp berbanding 370Z Coupe standard.
Jentera itu ditawarkan dengan dua pilihan transmisi, manual enam kelajuan atau automatik tujuh kelajuan, serta gred 370Z NISMO Tech yang baru. Ia didatangkan dalam empat warna iaitu merah, hitam, perak dan putih.
Ia akan mula dijual di pasaran Amerika Syarikat pada Julai depan.