Buletin

NISSAN SKYLINE NISMO DAN SKYLINE NISMO LIMITED DILANCAR DI JEPUN, INGATKAN SEJARAH HEBAT SKYLINE!

Selepas memperkenalkan Fairlady Z NISMO di Jepun, Nissan kembali dengan Skyline NISMO dan Skyline NISMO Limited Edition yang hanya ditawarkan untuk pasaran Jepun sahaja.

Dari segi sejarah, Skyline atau Prince Skyline bermula dengan model empat pintu sebelum dikembangkan kepada model GT pada generasi kedua dan GT-X, GT-R, GT-S dan pelbagai siri berprestasi selepas itu.

Merentasi 13 generasi sejak 1963, Nissan mempelbagaikan Skyline dalam pelbagai gaya badan dari sedan, coupé, wagon, convertible dan crossover.

Skyline juga mempunyai kembar mewah iaitu siri Infiniti G sebelum diganti dengan Q50. GT-R R35 yang dilancarkan pada 2007 menyaksikan kedua-dua Skyline dan GT-R dipisahkan kepada dua model berbeza.

Skyline NISMO yang baru diperkenalkan ini pula satu tindakan bagus dari Nissan bagi mengingatkan semula warna-warni sejarah Skyline dan prestasi adalah ciri yang sinonim dengan Skyline.

Sebelum ini varian berprestasi Skyline V37 diwakili Skyline 400R dan pengenalan Skyline NISMO dilihat dapat meledakkan kembali jenama Skyline sebagai model berprestasi.

Bukan hanya khusus untuk pasaran Jepun, Nissan menghadkan pengeluaran Skyline NISMO sebanyak 1,000 unit dan lebih terhad untuk Skyline NISMO Limited iaitu 100 unit sahaja.

Badan yang rendah dan lebar serta enjin NISMO, Skyline NISMO membawa imej dan prestasi sebuah sedan sport elit.

Satu yang menarik ialah, Nissan memasang logo klasik GT pada dapra depan.

Varian GT tidak dilupakan Nissan seperti yang boleh dilihat pada Skyline V37 dan penggunaan logo klasik GT pada Skyline NISMO sekali lagi satu tindakan yang betul dalam mengingatkan model bersejarah ini.

Enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar

Ketiga-tiga Skyline GT, 400R dan Skyline NISMO menggunakan enjin 3.0 liter VR30DDTT V6 turbo berkembar.

Varian terbaru ini ditala jurutera sama yang terlibat dalam pembangunan enjin perlumbaan kelas GT500 dan kuasa ditingkatkan dari 405 ps dan 475Nm pada 400R kepada 420 ps dan 550Nm.

Dalam mod standard, enjin menghasilkan pecutan lancar yang sesuai untuk kegunaan harian.

Mod sport dan sport+ yang menggunakan pemetaan transmisi AT khas dari NISMO mengubah karakter enjin dengan putaran (rpm) yang lebih tinggi dan memberikan tindak balas lebih agresif.

Pengendalian

Tayar yang digunakan dibangunkan khas untuk memberi keseimbangan yang optimal di antara cengkaman depan dan belakang.

Tayar belakang 20 milimeter (mm) lebih lebar untuk memastikan tujahan tinggi dari enjin dapat dihantar dengan berkesan ke jalan raya.

Rim aluminium 19 inci Enkei yang khusus untuk NISMO juga lebih lebar serta lebih ringan dan tegar.

Hasilnya, tindak balas awalan stereng lebih baik selain hubungan dengan permukaan dan meningkatkan prestasi di selekoh.

Pakej roda berprestasi digabung dengan suspensi talaan khas dan penstabil yang mengurangkan olengan apabila membelok dan mengekalkan penjajaran di atas permukaan jalan tidak rata.

Dengan memastikan kesemua roda memaksimumkan cengkaman di atas permukaan jalan, Skyline NISMO kekal stabil walaupun dipandu secara agresif.

Pad brek pada model ini menggunakan bahan geseran yang mempunyai kandungan kalis pudar dan sistem brek kunci (ABS) ditala semula selari dengan tayar dan pad khas untuk memendekkan jarak brek.

Sistem kawalan dinamik kenderaan juga ditala khas supaya sepadan dengan ciri kestabilan baharu untuk pengawalan yang lebih baik di laluan berselekoh dan mengoptimumkan prestasi dalam keadaan ekstrem.

Ciri khas NISMO dan bahagian luaran

Penelitian yang dibuat pada Skyline NISMO begitu terperinci sehingga perekat cermin depan dan belakang diambil dari Nissan GT-R NISMO.

Faedahnya ialah ketegaran badan dipertingkatkan tanpa menambah berat keseluruhan kereta.

Dari luaran memang jelas kit badan NISMO yang nampak sopan namun masih agresif. Selain kit badan, lampu kabus juga khusus dari NISMO.

Pendakap bawah bampar dan lampu kabus dan garisan sisi bukan gaya sahaja tetapi juga menambah kestabilan kelajuan tinggi dengan meningkatkan daya mendap dan mengurangkan seretan aerodinamik. 

Selain itu, laluan udara pada radiator dan penyejuk minyak telah dioptimumkan dengan merekabentuk semula bahagian bukaan jeriji dan bentuk penghala udara dalaman.

Penyejukan yang lebih baik memberi ketahanan dan reka bentuk baharu turut mengurangkan rintangan udara.

Ciri sporti diserlahkan melalui lima pilihan warna badan termasuk NISMO Stealth Gray.

Bahagian dalaman

Bahagian dalaman Skyline NISMO membawa kualiti dan kemasan tinggi seperti Skyline 400R dan dibuat dalam tema gelap. 

Stereng balutan kulit mempunyai tanda tengah khas NISMO dan bahagian meter istimewa dengan had kelajuan 280 kilometer sejam (km/j) dan lingkaran takometer merah dan logo NISMO.

Kerusi hitam Recaro talaan NISMO menyerlahkan lagi ciri sporti kereta sedan ini. Struktur kerusi dibuat bagi memastikan pemandu dan penumpang selesa ketika pemanduan jauh.

Nissan Skyline NISMO Limited

Model ini dibuat khas bagi meraikan ulang tahun ke-60 Skyline kereta lumba GT S54A-1 dan tampil dengan rekaan seperti kereta lumba, dan rim khas warna matte gunmetal.

Lagi ciri khas seperti plak takumi yang memaparkan perincian karyawan yang memasang enjin di Kilang Nissan Yokohama, plat nombor pengeluaran dan emblem eksklusif. 

Skyline NISMO Limited ditawarkan dalam warna White Pearl, NISMO Stealth Gray dan Dark Metal Gray dan seperti yang dinyatakan dalam jumlah terhad 100 unit untuk pelanggan di Jepun.

Harga Nissan Skyline NISMO:

Pacuan Enjin Varian Transmisi Harga Yen / RM
Roda belakang (RWD)  VR30DDTT
(Talaan khas NISMO)
NISMO* 7M-ATx 7,880,400 / 252,143
8,470,000 / 271,046
NISMO Limited 9,479,800 / 303,360

*Perkakasan dalaman NISMO, kerusi Recaro talaan NISMO, kerusi belakang khas NISMO dan kemasan karbon

Foto: Nissan

Google ads
Back to top button