Buletin

NISSAN BAWA MASUK FRONTIER PRO PHEV, BERSAING DENGAN BYD SHARK 6 DI AUSTRALIA

Selepas bertahun-tahun mengharungi pasaran Australia dengan Navara sebagai satu-satunya model pikap Nissan, jenama Jepun itu kini bersedia menambah satu lagi model ke dalam barisan kenderaan utiliti mereka.

Nissan telah mendedahkan Navara generasi terbaru minggu lalu, namun mereka mengesahkan bahawa satu lagi pickup bakal menyusul ke pasaran tempatan.

Model baharu ini ialah Frontier Pro PHEV yang dibina di China, dijangka tiba di Australia pada 2027.

Menurut laporan Carsales, Nissan Australia telah memaklumkan kepada pengedar bahawa Frontier Pro akan menjadi sebahagian daripada strategi produk mereka.

Pickup ini, yang diperkenalkan awal tahun ini hasil kerjasama dengan Dongfeng, perlu diubah suai untuk pemanduan sebelah kanan sebelum boleh dijual di negara ini.

Frontier Pro bakal menyertai segmen pickup hibrid plug-in yang semakin berkembang di Australia, termasuk pesaing seperti BYD Shark 6, GWM Cannon Alpha PHEV, dan Ford Ranger PHEV.

Tahun hadapan, Chery dan JAC turut merancang memperkenalkan model pickup hibrid masing-masing, menandakan persaingan yang semakin sengit.

Di pasaran asalnya, Frontier Pro dilengkapi enjin empat silinder turbo 1.5 liter yang digabungkan dengan motor elektrik pada transmisi, menghasilkan kuasa keseluruhan 402hp dan tork 800Nm.

Ia mampu memandu sepenuhnya menggunakan elektrik sejauh 135km, setanding dengan pesaing dari BYD dan GWM.

Ciri lain termasuk sokongan vehicle-to-load, kapasiti menunda sehingga 3,500kg, dan differential belakang dengan kunci elektro-mekanikal untuk kegunaan luar jalan.

Reka bentuk dalaman Frontier Pro juga menarik, menampilkan paparan instrumen digital 10-inci, skrin infotainment 14.6-inci, roda stereng dua jejari, pencahayaan ambien, serta tempat duduk hadapan dengan pilihan pemanas, penyejuk, dan fungsi urut.

Pengarah Urusan Nissan Oceania, Andrew Humberstone, sebelum ini menyatakan bahawa kehadiran Frontier Pro akan membantu mengurangkan jejak karbon Navara diesel yang sedia ada.

“Tiada masalah jika ia berjalan seiring dengan Navara baharu. Yang penting ialah adakah model ini memberi nilai dari segi perniagaan. Proses ubah suai pemanduan sebelah kanan biasanya mengambil masa sekitar enam bulan, dan saya percaya ia boleh berjaya di pasaran,” katanya.

Google ads
Back to top button