
NISSAN SKYLINE R32 GTR DICURI DARI TEMPAT PAMERAN – BERANI BETUL PENCURI NI
Ini kisah sedih bagi peminat Godzilla ataupun Nissan Skyline R32 GTR. Nissan Australia baru sahaja berkongsi berita yang sebuah R32 GTR 1991 telah dicuri dari koleksi mereka. Kejadian berlaku di fasiliti mereka di Mulgrave, Melbourne pada 9 Oktober, 2024.

Bayangkan sebuah kereta bersejarah dan mempunyai jutaan peminat di seluruh dunai dilarikan begitu sahaja. R32 tersebut sudah berada dalam koleksi Nissan Australia sejak 2015. Kini ia telah dicuri dan sudah menjadi kes polis.
Nissan menyeru sesiapa yang melihat kereta ini supaya segera menghubungi mereka supaya tindakan segera dapat diambil. Secara berseloroh mereka meminta bantuan untuk mendapatkan kembali kereta tersebut sebelum ia dipasang dengan aksesori merepek.

R32 yang dilarikan bukan sahaja mempunyai paras yang menawan tapi ia juga mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Ia merupakan unit yang pertama didaftarkan di Australia dan walaupun sudah berusia lebih tiga dekad, ia masih berada dalam keadaan sangat baik. Standard kilang kau. Tiada sebarang modifikasi apatah lagi ekzos aftermarket yang berbunyi macam kentut dinosaur.
Hanya 100 unit R32 GTR dibawa masuk ke Australia dan inilah salah satu daripadanya. Harganya sekarang dianggarkan sekitar AU$130,000 (lebih kurang RM376k sahaja).
Kejadian berlaku bila sekumpulan pencuri memecah masuk bilik pameran Nissan yang turut menempatkan koleksi model lama keluaran mereka. Kumpulan pencuri tersebut dikatakan turut cuba untuk melarikan sebuah R35 GT-R tapi gagal. Nak reti nak hidupkan enjin ke macam mana?

Rasanya tak lama lagi jumpa balik kereta sebab ia terlalu popular dan tambahan pula ia berwarna merah menyala yang memang menarik perhatian orang ramai. GTR ni bang, dengar bunyi ekzos dan deruman enjin pun akan menyebabkan sesiapa sahaja berpaling untuk kali kedua.