Buletin

HONDA HR-V FACELIFT 2025 TIBA DI PASARAN AUSTRALIA HUJUNG TAHUN INI – TAWAR TIGA VARIAN

Honda Australia telah mengesahkan bahawa model 2025 HR-V akan tiba di pasaran Australia pada akhir tahun ini.

Seperti yang dilaporkan pada Mei tahun ini, satu lagi varian hibrid akan ditawarkan dan ini bermakna barisan HR-V terdiri daripada model petrol Vi X, model baharu e:HEV X, serta varian lebih tinggi e:HEV L.

Menurut Honda, mereka yakin bahawa varian baharu e:HEV X akan menarik minat lebih ramai pengguna.

Walaupun waktu pelancarannya belum disahkan, Honda memberi petunjuk bahawa ia akan berlaku “tidak lama lagi”. Syarikat ini juga telah mengesahkan beberapa butiran spesifikasi minor untuk pasaran Australia.

Seperti dilaporkan awal tahun ini, perubahan untuk Honda HR-V yang dikemas kini di Jepun termasuk gril direka bentuk semula dengan lebih halus, lampu belakang LED baharu, serta papan pemuka bawah direka semula.

Bukan itu sahaja, HR-V juga dilengkapi aplikasi dan servis Honda Connect, dengan langganan percuma selama lima tahun disertakan bagi setiap pembelian.

Tiada perubahan besar lain pada HR-V untuk kemas kini ini, walaupun Honda telah mengumumkan dua warna baharu – Slate Grey dan Botanical Green.

Warna Slate Grey boleh didapati pada semua varian, manakala Botanical Green hanya dikhaskan untuk varian hibrid.

Selain itu, model HR-V terkini ini menampilkan ciri keselamatan aktif yang lebih maju, termasuk penambahbaikan pada suite Honda Sensing.

Ini termasuk Collision Mitigation Braking System, Road Departure Mitigation, Adaptive Cruise Control with Low-Speed Follow, dan Lane-Keep Assist.

Ciri baharu lain termasuklah Traffic Jam Assist dan Adaptive Driving Beam – tetapi hanya untuk varian hibrid sahaja.

Dari segi kuasa, varian hibrid HR-V semasa dijana oleh enjin petrol 1.5-liter empat silinder dan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa gabungan sebanyak 96kW, dengan penggunaan bahan api dinilai pada 4.3 liter bagi setiap 100 kilometer.

Google ads
Back to top button