
POLIS RAMPAS LAMBORGHINI HURACAN MILIK PENGANGGUR AUSTRALIA – BETUL KE DIA NI TAK KERJA?
Polis Australia telah merampas sebuah Lamborghini Huracan, sebuah motosikal Harley-Davidson V-Rod dan sepasang jam tangan Rolex daripada seorang penganggur berusia 39 tahun yang merupakan penerima elaun penganggur sejak 2019.

Kesemua nilai rampasan tersebut dianggarkan bernilai sekitar USD337,000 (hampir RM1.5 juta)! Bayangkan, pendapatan tak ada tapi mampu beli macam-macam barang mewah.
Polis menyatakan kemungkinan saspek mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah terancang. Elaun pengangguran diberikan kepada mana-mana warga Australia yang tidak mempunyai pekerjaan secara sementara sebelum mereka memperolehi pekerjaan tetap.
Jadi tak nampak pelik ke bila seorang penganggur memandu Lamborghini Huracan berwarna Blue Cepheus ke hulu ke hilir. Dah tentu banyak mata yang memandang dan antara mata yang dimaksudkan kepunyaan detektif dan Skuad Jenayah Terancang Australia.
Siasatan segera dilakukan kerana memiliki harta benda mewah tanpa sumber pendapatan yang munasabah. Ia dikaitkan dengan rangkaian jenayah terancang yang membawa kepada waran geledah kediaman lelaki terbabit di ParraMatta, New South Wales.
Pihak berkuasa menemui sebuah Lamborghini Huracan dan sebuah motosikal Harley-Davidson dengan warna tema yang sama seperti supercar tersebut. Itu belum termasuk koleksi jam tangan mewah yang turut ditemui di kediaman tersebut.
Saspek dikenakan tuduhan jenayah dan akan dihadapkan ke mahkamah 4 Oktober akan datang.