
NISSAN MICRA YANG COMEL INI PEROLEH LIMA BINTANG EURO NCAP
Di negara kita sebenarnya tidak kurang dengan kereta yang hebat-hebat. Jika tidak dibawa masuk oleh pengeluar tempatan, ia boleh didapatkan dari pengimport bebas (baca: Honda Civic Type R FK2R). Malah Malaysia antara top 3 negara yang mengimport kereta secara bebas dari Jepun.
Walaupun begitu, negara kita tetap kekurangan model yang comel seperti Nissan Micra terbaru ini. Bukan sahaja comel tetapi baru sahaja memperoleh skor lima bintang Euro NCAP. Keputusan itu dicapai melalui penggunaan teknologi pemanduan pintar yang kini termasuk dalam kategori ujian Bantuan Keselamatan badan ujian kemalangan bebas itu.
Skor lima bintang itu juga bukan calang-calang kerana Micra dinilai mengikut protokol ujian baharu Euro NCAP. Micra pasaran UK itu memperoleh skor tinggi susulan penggunaan teknologi keselamatan yang dipasangkan standard untuk kesemua varian.
Kesemua varian Nissan Micra UK dilengkapi Brek Kecemasan Pintar (IEB) yang mampu mengesan kenderaan yang perlahan atau berhenti di hadapan seterusnya mampu membrek secara automatik. Bergantung kepada kelajuan, teknologi tersebut dapat mencegah daripada pelanggaran atau mengurangkan kesannya.
Juga standard ialah teknologi Pengesan Pejalan Kaki yang dihubungkan bersama IED dan Intelligent Lane Intervention (ILI). Teknologi ILI itu berfungsi apabila ia mengesan kenderaan tersasar daripada laluannya, stereng akan mula bergetar, brek diaplikasikan secara automatik dan lebih canggih, stereng akan terpulas masuk semula ke laluan asal.
BACA: NISSAN GT-R DARI BULLETPROOF AUTOMOTIVE – 100% GENTIAN KARBON! (OK. MUNGKIN 90%)
BACA: NISSAN MARCH TALAAN NISMO: MEMANG SEKSI!
Melalui pakej teknologi tersebut, Micra telah memperoleh markah yang tinggi dalam kategori Bantuan Keselamatan dan turut membantu dalam mencapai skor lima bintang.
Selain daripada itu, Nissan Micra turut dilengkapi enam beg udara sebagai ciri standard, amaran tali pinggang keledar, dan menariknya kemudahan Isofix untuk kerusi kanak-kanak bukan sahaja pada kerusi belakang malah juga untuk kerusi penumpang hadapan.
Ciri-ciri keselamatan lain ialah ESP, ABS, HSA, pengehad kelajuan, sensor lampu utama automatik, lampu kecemasan automatik dan juga Sistem Pengesan Tekanan Tayar (TPMS).
Kepada mereka yang berminat dan tertawan dengan kecomelan Nissan Micra ini, tiada lagi ura-ura ia bakal dibawa masuk dan nampaknya Honda Jazz akan terus menikmati pasaran tanpa tentangan sengit dari pesaing lain.