Buletin

PERODUA DAN GRAB BEKERJASAMA – TAWAR PAKEJ ISTIMEWA UNTUK BEZZA, MYVI DAN ALZA

Kerajaan masih belum lagi menghalalkan operasi panggilan tumpang (ride hailing) tetapi itu tidak menghalang beberapa pengeluar kereta daripada bekerjasama dengan pengendali aplikasi yang menawarkan khidmat tersebut.

Terkini Perodua dan Grab Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang membolehkan pemandu GrabCar menikmati pakej harga istimewa dan pelbagai lagi khidmat menarik.

MoU tersebut dimeterai oleh Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin dan Ketua Grab bahagian Malaysia, Sean Goh.

Turut menyaksikan MoU tersebut ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh dan Pengarah Grab Inc, En. Nick Tan.

“MoU ini adalah sesuatu yang baru, strategi lautan biru buat Perodua dan ia bakal menonjolkan produk kami kepada orang awam secara besar-besaran melalui Grab,” kata Dato’ Dr. Zahari.

Di antara perkara yang terkandung dalam MoU tersebut ialah masa yang singkat bagi mendaftarkan kereta, pusat sehenti untuk servis dan alat ganti serta insuran dan cukai jalan.

BACA: PERODUA MODERNO – KISAH CINTA DUA BENUA

BACA: SUV MAMPU MILIK: PERODUA KEMBARA, LASAK DAN BOLEH DIHARAP

Pakej itu ditawarkan untuk tiga model Perodua iaitu Bezza, Myvi dan Alza.

Sementara itu, menurut Sean Goh, dengan peningkatan kos sara hidup serta ramai yang kehilangan kerja pada tahun 2016, Grab dilihat sebagai platform untuk mereka yang terjejas sementara mencari peluang pekerjaan lain dan juga turut boleh menjadi sumber pendapatan yang kukuh. Melalui pakej harga istimewa ini, ia dapat membantu pemandu Grab mendapatkan sumber pendapatan.

Selain daripada itu, jualan kenderaan Perodua terus kukuh dan kesemua model merupakan menerajui segmen masing-masing. Untuk empat bulan pertama tahun ini, Axia telah terjual sebanyak 22,000 unit, Bezza 19,500 unit, Myvi 13,900 unit manakala Alza sebanyak 9,300 unit.

Mengikut data yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah jualan industri (TIV) dari Januari hingga April ialah sebanyak 183,600 unit dan dari jumlah itu, Perodua menguasai 35.4 peratus pegangan atau sebanyak 64,600 unit kenderaan.

Google ads
Back to top button