Buletin

NISSAN PAMER MICRA BOSE PERSONAL EDITION DI GENEVA

Nissan memperkenalkan Nissan Micra BOSE Personal Edition di pameran Geneva Motor Show 2017. Dibina menggunakan varian paling tinggi, Tekna, ia dilengkapi dengan pelbagai ciri tambahan dan lebih personaliti berbanding Micra standard. Hanya 3,000 unit akan ditawarkan di pasaran Eropah.

Seperti namanya, spesifikasi model itu dicipta untuk meraikan kerjasama di antara Nissan dan pengeluar sistem audio premium, BOSE. Jentera kompak itu hadir bersama sistem audio Micra BOSE Personal yang unik. Dua pembesar suara BOSE UltraNearfield™ dipasang pada perehat kepala pemandu.

Reka letak itu digabungkan dengan pemproses isyarat BOSE yang menawarkan pengalaman mendengar muzik 360° kepada pemandu. Sistem bunyi itu juga boleh ditala mengikut kecenderungan pemandu dengan bantuan ciri PersonalSpace Control yang dibina dalam talaan audio Micra.

“Kami menghasilkan sistem bunyi BOSE Personal untuk menawarkan kualiti bunyi terbaik daripada jumlah komponen yang terhad. Dengan hanya menggunakan enam pembesar suara berprestasi tinggi dan teknologi pemproses isyarat terkini BOSE, sistem ini menawarkan pengalaman audio yang luar biasa,” kata Naib Presiden BOSE Automotive Systems, Marc Mansell.

Nissan Micra BOSE Personal Edition tampil dengan dua warna menarik iaitu hitam dan kelabu. Ia kemudian diserlahkan lagi dengan kemasan berwarna oren daripada program personalisasi Micra.

Kemasan oren itu boleh dilihat pada bahagian bampar hadapan dan belakang, cermin sisi dan rim aloi bersaiz 17 inci. Pelekat berkualiti tinggi pada bonet dan bumbung, serta emblem BOSE Personal turut dipasang pada tiang B Micra. Semua ini dipasang di kilang Nissan di Flins, Perancis.

Di ruang kabin, personalisasi Micra BOSE Personal Edition diserlahkan menerusi material berwarna oren pada papan pemuka, tempat duduk, sil pintu dan karpet lantai.

Micra BOSE Personal Edition dilengkapi sistem infotainmen dengan radio digital DAB, navigasi, Nissan Intelligent Key dan perehat tangan. Safety Pack juga hadir sebagai ciri standard.

Ia merangkumi sistem keselamatan seperti Intelligent Emergency Braking dengan Pedestrian Recognition, Traffic Sign Recognition, High Beam Assist dan Intelligent Lane Intervention. Sementara ciri Intelligent Around View Monitor, Stop&Start, pemanas pada tempat duduk dan tayar ganti ditawarkan sebagai opsyen.

Bagi memaksimumkan pilihan kepada pelanggan, Micra BOSE Personal Edition dikuasakan oleh unit enjin turbo 0.9 liter 90PS atau turbo diesel 1.5 litre 90PS. Model ini dijangka mula dijual pada musim panas tidak lama lagi.

BACA: NISSAN MICRA 2017 – APESAL KAU CANTIK SANGAT?

BACA: NISSAN MARCH TALAAN NISMO – MEMANG SEKSI!

Google ads
Back to top button