Buletin

HONDA THAILAND LANCAR CIVIC HATCHBACK – RM147,360 SEUNIT, 1.5L TURBO SAHAJA

Honda Automobile (Thailand) Co., Ltd. (Honda Thailand) hari ini menambah tawaran Honda Civic ke pasaran Thailand apabila melancarkan Honda Civic Hatchback secara rasmi.

Hanya satu varian ditawarkan, Civic Hatchback dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC Turbo untuk menawarkan lebih prestasi dan penjimatan kepada pengguna.

“Bagi meneruskan kejayaan Honda Civic Baharu yang kini sudah mencecah jualan lebih 35,000 unit sejak dilancarkan pada 2016, kami dengan bangganya memperkenalkan Honda Civic Hatchback lima pintu.

“Dengan gayaan sporty dan premium, model ini pasti dapat memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan gaya serta versatiliti,” kata Ketua Pegawai Operasi Honda Thailand, Pitak Pruittisarikorn.

Sebagai mana yang anda boleh lihat, model ini tampil reka bentuk yang sporty dan sofistikated. Bahagian hadapannya diserlahkan dengan gril berbentuk sarang lebah, sepasang lampu utama, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan bentuk hatchback di belakang.

Sama seperti model sedan, enjin 1.5 liter DOHC VTEC Turbo itu mampu menghasilkan kuasa sekitar 173hp pada 5,500rpm dan tork maksimum 220Nm pada 1,700 hingga 5,500rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT yang dibangunkan di bawah Teknologi Earth Dreams Honda.

Ruang kabin Civic Hatchback masih menawarkan keselesaan kepada pemandu dan penumpangnya. Ia turut menyediakan kapasiti penyimpanan barang mencecah 414 liter. Tempat duduk belakangnya boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40. Ia juga boleh dilipat habis jika lebih ruang diperlukan.

Ciri lain yang dipasang ialah paparan audio bersaiz tujuh inci yang menyokong Bluetooth, sambungan USB dan Apple CarPlay. Meter paparan multi informasi TFT menyediakan pelbagai maklumat pemanduan yang penting kepada pemandu.

Sementara ciri Engine Remote Start pula membolehkan pengguna menghidupkan enjin dari jauh untuk menyejukkan kabin sebelum memulakan pemanduan. Dari segi keselamatan, Civic Hatchback dilengkapi kamera undur multi sudut, brek parkir elektrik, Auto Brake Hold, Emergency Stop Signal (ESS), Walk Away Auto Lock dan banyak lagi.

Honda Thailand menawarkan jentera ini pada harga 1,169,000 baht (RM147,360) seunit. Ia hadir dalam lima warna iaitu putih, hitam, kelabu, perak dan warna baru, Midnight Burgundy Pearl.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Honda Malaysia tidak bercadang untuk membawa masuk Civic Hatchback kerana permintaannya tidaklah besar berbanding model sedan. Hmm…

BACA: HONDA DEDAH PERINCIAN DAN FOTO CIVIC HATCHBACK UNTUK PASARAN EROPAH

BACA: GAIKINDO 2016 – PROTOTAIP HONDA CIVIC HATCHBACK 

Google ads
Back to top button