
PADU! FORD FIESTA YANG KECIL INI PEROLEH 5 BINTANG EURO NCAP
Dulu-dulu biasa kedengaran kereta besar atau mewah biasanya lebih selamat berbanding kereta kecil. Antara sebabnya ialah hud enjin yang panjang dan ketukan besi keras di mana secara psikologinya lambat untuk sampai kepada pemandu dan penumpang dalam kabin.
Selain itu, kesan kemalangan juga menunjukkan kereta yang besar-besar ini hanya remuk sedikit berbanding kereta dengan saiz lebih kecil.
Namun sekarang ini, saiz sesebuah kenderaan tidak cukup dalam menjamin keselamatan penumpang. Boleh jadi, kereta kecil mempunyai struktur lebih tegar berbanding kereta dalam segmen besar.
Hasil keputusan ujian pelanggaran Euro NCAP yang terbaru ini menunjukkan senario ketegaran dan kekuatan kereta kecil moden.
Dalam keputusan yang dikeluarkan pada 6 September 2017, Ford Fiesta serba baharu (belum dilancarkan di Malaysia) telah dianugerahkan lima bintang maksimum Euro NCAP.
Markah yang dicatatkan oleh Fiesta ialah 87 peratus untuk perlindungan orang dewasa dan 84 peratus untuk perlindungan kanak-kanak.
Selain itu, Fiesta juga mencatat markah maksimum dalam ujian simulasi pelanggaran kereta dengan kereta pada sebelah sisi dan juga mencatat markah tinggi dalam ujian pelanggaran tiang pada bahagian depan dan tepi.
Ini menunjukkan Fiesta spesifikasi Eropah menawarkan perlindungan komprehensif untuk kesemua penumpang dan juga dalam prestasi hentakan kepala (whiplash).
Ujian pelanggaran Euro NCAP sebenarnya semakin ketat di mana penekanan diberi kepada teknologi yang dapat membantu pemandu mengelak kemalangan.
Salah satu sebab kenapa Fiesta diberikan markah cemerlang ialah ia dilengkapi pelbagai teknologi canggih. Ford mendakwa Fiesta adalah kereta kecil yang paling canggih ditawarkan sekarang ini di Eropah.
Berikut ialah kelengkapan keselamatan yang ada pada Ford Fiesta versi Eropah:
- Pre-Collision Assist with Pedestrian Detection – Mampu mengelak kemalangan walaupun dalam keadaan gelap
- Adjustable Speed Limiter – Mampu mengubah kelajuan mengikut had laju jalan raya
- Lane Keeping Aid – Mampu mengawal stereng daripada tersasar ke lorong bersebelahan
- Seatbelt pre-tensioners and load limiters yang pertama kali dilengkapi pada kerusi belakang
- Beg udara depan bagi melindungi sisi kepala, dada dan pelvis
- Penggunaan lebih banyak besi boron – 36 peratus berbanding model terdahulu termasuk pada bahagian atas tiang tengah (B)
- Pengunaan konfigurasi jenis T pada tiang B dalam menyebarkan impak tenaga ke bumbung kereta
- Bahagian lintangan pintu yang direka semula bagi melindungi pemandu dan penumpang terhadap impak pelanggaran sisi
- Sensor tekanan baharu yang membolehkan beg udara diaktifkan beberapa milisaat lebih pantas
- Dua kamera, tiga radar dan 12 sensor ultrasonik – Membantu mengawasi 360 darjah sekeliling kereta dan mengimbas jalan di hadapan pada jarak sehingga 130 meter
- Sejumlah kamera, radar dan sensor tersebut menyokong pelbagai teknologi bantuan pemanduan seperti Active Park Assist with Perpendicular Parking, Adaptive Cruise Control, Auto High Beam, Blind Spot Information System, Cross Traffic Alert, Distance Indication, Driver Alert, Forward Collision Warning, Lane Keeping Alert dan Traffic Sign Recognition.
Selain itu, Fiesta adalah model Ford pertama di Eropah yang meraih faedah daripada penggunaan ujian simulasi berkomputer menggunakan kaedah Finite Element Analysis.
Teknologi ini berupaya menganggarkan dengan tepat bagaimana tindak balas sistem keselamatan dari beg udara hingga ke struktur kereta dalam simulasi pelanggaran sebenar bagi membolehkan jurutera dan pasukan pembangunan menambah baik kelengkapan dan sistem yang ada.
Untuk pasaran Eropah, Ford menawarkan pelbagai tawaran untuk memenuhi selera pelanggan seperti Fiesta Titanium, Fiesta ST-Line, Fiesta Vignale, dan Fiesta Zetec.
Itu masih belum cukup kerana Ford merancang untuk memperkenal dua lagi varian iaitu Fiesta Active crossover dan yang palimg berkuasa iaitu Fiesta ST 200PS.
BACA: FORD FIESTA ST 2018 – 3 SILINDER, 200PS!
BACA: FORD BANGUNKAN TEKNOLOGI PEMANDUAN KERETA ELAK LUBANG
Tonton video pelanggaran ini dan saksikan ketegaran struktur Ford Fiesta spesifikasi Eropah