Buletin

TAHUKAH ANDA, TOYOTA HILUX KENDERAAN PALING LARIS DI AUSTRALIA?

Bahasa jiwa bangsa. Kalau perumpamaan tersebut digunakan untuk kenderaan maka boleh diibaratkan sebagai, kenderaan adalah cerminan rakyat.

Maka jika diukur dari sudut jualan, boleh dikatakan bahawa Perodua Axia adalah lambang rakyat Malaysia. Sebelum itu, Perodua Myvi mewakili rakyat Malaysia selama bertahun-tahun sejak 2006.

Bagaimana pula dengan negara luar? Atau penduduk dunia?

Maka boleh dikatakan dua sahaja, sama ada Kumpulan VW atau Toyota. Atau tahun ini ia dipegang oleh Pakatan Renault-Nissan.

Tetapi pernahkah anda bayangkan kenderaan terlaris sesebuah negara ialah trak pikap?

Itulah faktanya di Australia apabila kenderaan terlaris ialah Toyota HiLux. Carta jualan kenderaan di sana diterajui oleh HiLux sejak enam bulan berturut-turut dan ia telah mencatat rekod baharu untuk Toyota.

HiLux memegang takhta jualan sejak Mac lagi dan ia satu-satunya kenderaan dalam segmen yang berjaya mencatat rekod tersebut untuk enam bulan berturut-turut.

Jualan HiLux pada bulan Ogos mencecah 4,287 unit di mana rekod tersebut adalah kali keempat jumlah jualan dilebur sendiri oleh HiLux pada tahun ini.

Kali terakhir sesebuah model menerajui carta jualan di Australia selama enam bulan berturut-turut ialah satu lagi produk Toyota iaitu Corolla. Itu pun tiga tahun lepas iaitu dari Mac hingga Ogos 2014.

 

Berdasarkan rekod, pencapaian HiLux tersebut tidak mengejutkan kerana pikap generasi sebelum ini pernah menerajui carta jualan selama lima bulan berturut-turut dari April hingga Ogos 2012.

Sehingga kini, jualan HiLux telah meningkat sebanyak 13.7 peratus kepada 31,407 unit dan jika tiada apa-apa yang pelik berlaku, pikap Toyota ini sekali lagi bakal menjadi kenderaan terlaris Australia untuk kali kedua berturut-turut.

Selain itu, HiLux memang nyata digemari pasaran Australia apabila ia mendahului pesaing lain sebanyak 11 peratus atau 3,100 unit di hadapan kenderaan kedua terlaris di sana. Bukan sahaja HiLux, model-model lain Toyota seperti Corolla, Camry dan LandCruiser turut menerima sambutan hangat.

Satu lagi fakta menarik ialah jualan Toyota di Australia sehingga Ogos lalu sudah pun melebihi 145,400 unit jauh meninggalkan pesaing lain yang masih belum mencapai 80,000 unit jualan. 

Hebat bukan? Australia adalah tanah Toyota dan negara Asia lain. Tetapi tidak di Malaysia apabila Honda adalah jenama asing paling laris dan rekod itu bakal dipegang sekali lagi tahun ini. 

Baca artikel menarik tentang Toyota HiLux yang siap dimodifikasi dengan cun:

TOYOTA HILUX SINGLE CAB – YANG INI PUN BOLEH JUGA JADI LAJU (DAN CANTIK)

VERSATILITI TOYOTA HILUX

 

Google ads
Back to top button