Artikel PilihanMotosikal

PEDROSA MERUPAKAN PELABURAN BIJAK UNTUK MANA-MANA PASUKAN – CARLOS CHECA

Tidak ada pasukan ataupun syarikat yang akan rugi jika menggunakan khidmat Dani Pedrosa kerana beliau sentiasa bekerja keras dan berada dalam kelompok hadapan, kata bekas juara dunia MotoGP, Carlos Checa. Pedrosa seorang pelumba yang laju tetapi kecederaan yang dialami membuatkan beliau gagal mengumpul mata yang diperlukan untuk menjadi juara dunia.

Checa berkata demikian dalam satu sesi temuramah yang dianjurkan oleh Repsol sempena MotoGP Catalunya. Checa merupakan pemenang WSBK 2011 selain bekas pelumba GP500 dan MotoGP.

Ketika ditanya tentang memori beliau di litar Barcelona-Catalunya Checa menyatakan yang ia sebuah litar yang cukup bermakna kerana ia merupakan tempat di mana beliau buat pertama kalinya menyertai perlumbaan GP pada tahun 1993 (kelas 125cc). Malah pada tahun 1996 ia sekali lagi menjadi litar istimewa kerana beliau telah meraih kemenangan pertama kelas 500cc di lokasi yang sama.

Mengenai perbezaan kelas 500cc dan MotoGP Checa menyatakan yang kategori 500cc dahulunya tidak mempunyai teknologi sehebat MotoGP. Tapi mereka harus berhati-hati dalam menggunakan pendikit walaupun jentera yang digunakan kurang berkuasa berbanding hari ini. Satu perkara lagi yang kurang diberi perhatian ialah faktor tayar, tapi kini keadaan sudah berbeza dengan kemunculan MotoGP.

Teknologi elektronik memang sudah berkembang dengan begitu maju. Ia amat penting kerana jentera MotoGP kini juga sangat berkuasa dan ia mesti diselarikan dengan kawalan elektronik yang terbaik.

BACA: HAMPIR SETAHUN TANPA SEBARANG KEMENANGAN MEMANG TERUK – VALENTINO ROSSI

Checa juga berpendapat perlumbaan pada tahun ini semakin menarik dengan persembahan menakjubkan Marc Marquez walaupun terjatuh di Mugello. Jorge Lorenzo juga semakin menunjukkan peningkatan dalam beberapa perlumbaan sebelum ini. Valentino Rossi masih mampu bersaing tapi Vinales dan Pedrosa sendiri masih mencari rentak.

Mengenai jenama motosikal yang digunakan Checa menyatakan yang buat masa ini Ducati dilihat dalam keadaan paling baik manakala Yamaha seperti masih tercari-cari formula terbaik. Jentera Honda yang ditunggang oleh Marc Marquez juga cukup mengkagumkan tetapi secara kasar ketiga-tiga jenis jentera disebutkan di atas agak setanding.

Suzuki juga kelihatan dalam keadaan memuaskan walaupun masih kekurangan kuasa pada enjin. KTM masih terlalu awal untuk penilaian dan Aprilia kini merupakan jenama yang paling ke belakang buat masa sekarang.

Menurut Checa, regulasi dan perubahan pada faktor tayar banyak membantu meningkatkan kualiti MotoGP. Akhir sekali faktor paling penting tentulah memastikan agar jentera yang digunakan cukup selesa untuk pelumba selain keadaan litar itu sendiri.

 

Google ads
Back to top button