Buletin

PEMANDU MABUK LANGGAR ATLET KAYAK, DISERET 600 METER

Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Elias, 22, mengalami retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki akibat terbabit kemalangan di Kilometer 3.5 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur (EDL) di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal di Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi dirempuh kereta dipandu suspek dari arah belakang pada jam 4.30 petang.

Beliau berkata, kereta suspek dari arah belakang mengubah haluan secara tiba-tiba dari lorong tengah ke lorong kiri dan melanggar mangsa.

Menurutnya, akibatnya mangsa mengalami kecederaan retak bahu kanan, tulang pingggul dan luka di bahagian kaki manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa kini dirawat di hospital swasta di Iskandar Puteri di sini.

“Polis sudah menahan pemandu lelaki itu. Ujian saringan pernafasan ke atas pemandu yang berusia 30-an mendapatinya positif alkohol manakala ujian air kencing pula bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

“Siasatan mendapati suspek memiliki tujuh rekod saman trafik yang belum dijelaskan tetapi tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya.

Raub berkata, lelaki berkenaan ditahan selama 24 jam untuk siasatan dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga minimum tujuh tahun atau maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM30,000 atau maksimum RM50,000.

“Pihak polis memohon saksi yang melihat kejadian itu agar tampil ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek 014 6977122,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang dalam satu kenyataan memaklumkan, Siti Nurul Masyitah parah selepas dilanggar dan diseret sejuh 600 meter apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan.

Katanya, berdasarkan rakaman video pada papan pemuka sebuah kereta, Siti Nurul Masyitah yang mengambil jurusan kejuteraan mekanikal di politeknik itu dilanggar kereta yang dipandu dalam keadaan melulu dan kemudiannya menyeret mangsa sejauh 600 meter.

Siti Nurul Masyitah adalah atlet kayak dan bot naga Malaysia yang membantu negara memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2023.

Berdasarkan hantaran yang tular dalam media sosial, dapat dilihat beberapa keping gambar ketika kemalangan yang dikongsi termasuk foto seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek sedang membuat isyarat tangan ‘peace’. – Berita Harian

Google ads
Back to top button