FORD MUSTANG GT 60th ANNIVERSARY – DAH 60 TAHUN RUPANYA USIA SI MUSTANG NI WEI!
Enam puluh tahun dahulu, telah lahir ke dunia sebuah model kereta sport yang kini sudah pun menjadi lagenda dan sebutan seantero dunia. Inilah dia Ford Mustang yang telah membuat kemunculan pertamanya di New York World Fair 1964.
Dan kini Ford Mustang telah pun melepasi sehingga tujuh generasi dan telah pun menjadi model yang cukup ikonik dalam sejarah permotoran dengan pengenalan Ford Mustang GT 60th Anniversary.
“Kami mengambil inspirasi daripada model Mustang yang asal dan menggunakan beberapa elemen reka bentuk yang paling istimewa kepada yang terkini dalam pengeluaran edisi terhad ini,” kata Matt Simpson, selaku Pengurus Besar Ford Enthusiast Vehicles. “DNA reka bentuk Mustang tidak pernah lebih kuat atau lebih tahan lama daripada penghormatan berbilang generasi ini.”
Untuk model Ford Mustang GT 60th Anniversary ini, hanya tersedia untuk varian GT Premium dengan menggunakan trenkuasa 5.0 liter V8 dan akan tersedia pada kedua-dua varian Coupe dan juga Convertible dengan padanan kotak gear manual atau pun automatik.
Pada bahagian tepi dibawah jelas kelihatan lencana 5.0 berserta dengan jalur yang berinspirasikan reka bentuk dari model tahun 1965. Di bahagian hadapan, jelas kelihatan gril unik yang menggabungkan reka bentuk jejaring retro, manakala saluran udara di bahagian hut hadapan mendapat aksen perak untuk membuatkannya lebih menonjol.
Lampu utama hadapan telah diberikan kesan smoked daripada pakej Mustang Nite Pony, sedikit berbeza dengan penutup cermin sisi yang lebih berkilat. Ford Mustang GT 60th Anniversary ini akan didatangkan dengan pilihan warna Putih, Race Red atau pun Vapor Blue.
Pilihan warna untuk bahagian kabin juga meliputi warna Kelabu, Merah atau pun Hitam. Juga terdapat logo 60th Anniversary pada panel instrument bagi menyatakan tentang betapa istimewanya model ini.
Dan Ford bercadang untuk membina varian edisi terhad ini hanya untuk 1,965 unit sahaja dengan harga yang masih belum lagi ditentukan dan akan dinyatakan secara rasmi pada penghujung tahun ini.
BACA : FORD MUSTANG GTD 800 KUASA KUDA, KETUA MLM TERBARU
BACA : FORD MUSTANG GT 2024 #1 DILELONG UNTUK SEDEKAH AMAL JARIAH