Buletin

LEAPMOTOR T03, C10 DIPERKENALKAN – BAKAL MASUK MALAYSIA SUKU KEEMPAT 2024

Leapmotor, jenama automotif dari China telah meluaskan pasaran globalnya secara rasmi di Eropah dengan menubuhkan usaha sama dengan Stellantis, dinamakan Leapmotor International BV.

Beribu pejabat di Amsterdam, Belanda, syarikat itu akan diketuai oleh Tianshu Xin, berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Bukan itu sahaja, pengeluar berkenaan turut memperkenalkan T03 dan C10 sebagai dua model pertamanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis Carlos Tavares berkata, penubuhan usaha sama ini merupakan langkah konkrit pihaknya dalam menyediakan pelbagai model Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) dan bersaing dengan beberapa jenama dari China di pasaran utama seluruh dunia.

“Dengan menggunakan kehadiran kami di pasaran global, kami tidak lama lagi akan dapat menawarkan harga kenderaan elektrik yang kompetitif dan berteraskan teknologi lebih canggih,” kata Tavares.

Syarikat itu akan menggunakan saluran pengedaran dan pelancaran Stellantis di Eropah yang terdiri daripada Perancis, Itali, Jerman, Belanda, Sepanyol, Portugal, Belgium, Greece serta Romania.

Bermula pada September 2024, syarikat itu akan menubuhkan 200 titik jualan menjelang akhir tahun ini dan meningkat kepada 500 pada 2026.

Sementara itu, pelancaran produk daripada Leapmotor akan diperluaskan ke beberapa kawasan, termasuk Turki, Afrika dan Timur Tengah.

Kemudian, Leapmotor juga akan menyasarkan pasaran negara India, Australia, New Zealand, Brazil, Chile, dan rantau Asia Pasifik (Thailand dan Malaysia).

Leapmotor C10 adalah produk pertama yang ditawarkan di pasaran global, dibina pada platform LEAP3.0, kereta itu termasuk dalam kelas segmen D – berorientasikan kenderaan keluarga.

Kereta ini dibekalkan dengan bateri yang menawarkan jarak gerak  420 km mengikut WLTP dan mempunyai gelaran keselamatan lima bintang dari Euro NCAP.

Sementara itu, Leapmotor T03 pula adalah kereta kecil lima pintu – kelas segmen B, mempunyai  bateri yang mampu memberikan jarak sejauh 265 km mengikut pengiraan WLTP.

Google ads
Back to top button