Buletin

PEMERIKSAAN KENDERAAN DI PUSPAKOM SECARA PERCUMA!

Sebagai sebuah syarikat yang berpengalaman selama 25 tahun dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) sekali lagi menganjurkan kempen #drivesafenoregrets Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela Percuma kepada semua pemilik kenderaan persendirian.

Kempen tanggungjawab sosial ini adalah bersempena sambutan Tahun Baru Cina 2020 yang bertujuan membantu pemilik dan pemandu kenderaan memastikan kenderaan mereka selamat dipandu di atas jalan raya ketika balik kampung sempena musim perayaan melalui pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM.

Kempen ini akan dijalankan selama 11 hari bermula pada 11 Januari hingga 21 Januari 2020 di semua Pusat Pemeriksaan Kenderaan PUSPAKOM (kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang yang dikhaskan untuk kenderaan berat sahaja) sepanjang waktu operasi di cawangan masing-masing.

Selain pemeriksaan di pusat pemeriksaan, PUSPAKOM turut menyediakan unit bergerak yang akan menjalankan pemeriksaan kenderaan sukarela percuma di beberapa tempat terpilih seperti berikut:

  1. Taman Pudu Ulu, Kuala Lumpur pada 11 Januari 2020
  2. Dataran Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada 14 Januari 2020
  3. Tesco Extra Ampang (parkir blok B) pada 18 Januari 2020
  4. Insa Dunia Food Court Car park, Bukit Mertajam Pulau Pinang pada 22 Januari 2020
  5. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  Alor Setar, Kedah pada  23 Januari 2020

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Encik Shukor Ismail berkata, “Setiap kali menjelang perayaan, pemilik dan pemandu kenderaan yang bertanggungjawab akan terfikir untuk menyelenggara kenderaan mereka sebelum pulang ke kampung.

“Kami juga menggalakkan mereka untuk turut menjalani Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela Percuma yang ditawarkan PUSPAKOM. Pemeriksaan ini akan memberikan bacaan dan laporan prestasi 25 item pemeriksaan kenderaan iaitu termasuk keadaan tayar, gelincir sisi, suspensi, pelepasan asap, pemeriksaan bahagian atas dan bawah kenderaan, pemeriksaan cermin gelap dan lain-lain lagi.

“Laporan pemeriksaan yang dijana boleh digunakan sebagai rujukan pemilik kenderaan sebelum mahupun selepas penyelenggaraan dilakukan  di bengkel kenderaan.

“Fi sebenar Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela ini adalah RM50 bagi sebuah kenderaan. Namun dalam tempoh kempen berlangsung, pemeriksaan ini adalah percuma.”

“Kami di PUSPAKOM sentiasa mengambil berat tentang keselamatan kenderaan dan pengguna jalan raya di Malaysia. Peranan PUSPAKOM adalah membantu pemilik kenderaan untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan secara menyeluruh melalui pemeriksaan dengan menggunakan peralatan pemeriksaan yang mengikut standard yang sama digunapakai oleh negara-negara lain.

“Oleh itu, sempena Tahun Baru Cina yang bakal tiba, saya menyeru semua pemilik dan pemandu kenderaan persendirian rebutlah peluang dengan menghantar kenderaan ke PUSPAKOM bagi menjalani pemeriksaan secara percuma ini”, katanya lagi.

Untuk segala pertanyaan tentang pemeriksaan kenderaan sukarela percuma, sila hubungi  1-800-88-6927 atau layari laman web www.puspakom.com.my atau Facebook PUSPAKOM Sdn Bhd.

Tags
Google ads
Back to top button