Buletin

PUSPAKOM LAKSANAKAN PROSEDUR PEMERIKSAAN BAHARU BAGI KENDERAAN BERAT

Bermula 1 Jun 2025, PUSPAKOM akan memulakan pelaksanaan penambahbaikan terhadap prosedur Pemeriksaan Berkala bagi kenderaan berat, sejajar dengan arahan baharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Langkah ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memperkukuh keselamatan jalan raya susulan beberapa kemalangan melibatkan kenderaan berat.

YB Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sebelum ini menyatakan bahawa komponen penting seperti sistem brek dan tayar akan diberi perhatian utama dalam pemeriksaan terkini, bagi memastikan tahap keselamatan operasi kenderaan berat sentiasa berada pada tahap tertinggi.

PUSPAKOM, sebagai badan pemeriksaan kenderaan yang diberi tanggungjawab rasmi, menyatakan komitmen untuk melaksanakan prosedur baharu ini secara menyeluruh, dengan kecekapan dan ketelusan.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, menyambut baik perubahan ini dan menjelaskan bahawa pelbagai jenis ujian tambahan akan diperkenalkan, termasuk pengujian keberkesanan brek, pemeriksaan tayar serta pemeriksaan visual kenderaan.

“Penambahbaikan ini bukan sahaja menyumbang kepada keselamatan jalan raya, malah turut meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap ketelusan sistem pemeriksaan PUSPAKOM,” ujar Mahmood.

Beliau turut menyeru para pemilik dan pengendali kenderaan berat supaya peka dengan perubahan ini dan memastikan kenderaan mereka bersedia menghadapi prosedur pemeriksaan yang ditambah baik demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

Tambahnya lagi, PUSPAKOM kini sedang membuat persiapan dari segi kelengkapan teknikal, sistem sokongan serta latihan tenaga kerja bagi memastikan kelancaran pelaksanaan prosedur baharu di semua cawangan pemeriksaan seluruh negara.

Dua Perkara Utama yang Akan Dikuatkuasakan Mulai 1 Jun 2025:

1. Pemeriksaan Tayar Kenderaan:
Jika sebelum ini tayar hanya perlu mempunyai 75% kawasan dengan ketebalan bunga minimum 1.6mm, mulai 1 Jun 2025, keseluruhan permukaan tayar diwajibkan mengekalkan ketebalan bunga tidak kurang daripada 1.6mm bagi lulus pemeriksaan.

2. Struktur Sideboard bagi Lori Rigid Dumper (LRD) dan Semi Trailer Dumper (SKD):
Pemeriksaan akan mengambil kira jenis muatan yang dibenarkan mengikut permit kenderaan. Mulai tarikh kuat kuasa, pemilik kenderaan perlu membawa permit semasa pemeriksaan.

Kenderaan jenis LRD dan SKD yang mempunyai sideboard melebihi 762mm atau 610mm (bergantung kepada berat dengan muatan-BDM) dan membawa muatan yang tidak dibenarkan akan digagalkan dalam pemeriksaan.

Pihak JPJ turut menjangkakan akan ada lagi penambahbaikan dalam masa terdekat sebagai kesinambungan usaha memperkukuh keselamatan pengangkutan jalan raya di Malaysia.

Google ads
Back to top button