
PEMERIKSAAN PUSPAKOM BERLANDASKAN PROSEDUR DITENTUKAN JPJ
PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), selaku syarikat pertama diberi lesen sebagai Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) di Malaysia, tampil memberi penjelasan berhubung isu dibangkitkan oleh Setiausaha Persatuan Lori Sibu, Augustine Paat, mengenai pemeriksaan berkala lori seperti yang dilaporkan oleh media pada 16 Februari 2025.
Menurut PUSPAKOM, semua pemeriksaan yang dijalankan mematuhi garis panduan serta prosedur telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tanpa sebarang pindaan atau kelonggaran.
Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman menegaskan bahawa setiap aspek pemeriksaan, termasuk keadaan pelekat berat muatan yang pudar, adalah berdasarkan peraturan dikuatkuasakan oleh JPJ.
“Kami tidak mempunyai kuasa untuk mengubah sebarang prosedur atau syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

“Walaupun terdapat pandangan bahawa pelekat berat muatan yang pudar bukan isu keselamatan utama, kami tetap perlu memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan sedia ada. Sekiranya kami gagal berbuat demikian, PUSPAKOM sendiri boleh dikenakan tindakan oleh JPJ.”
Beliau turut menambah bahawa pemilik kenderaan harus lebih peka terhadap keperluan pemeriksaan dan tidak mengambil ringan syarat yang telah ditetapkan.
“Setiap pemilik kenderaan sedar akan peraturan yang perlu dipatuhi sebelum menjalani pemeriksaan. Sekiranya mereka hadir dengan kenderaan tidak memenuhi syarat, ini menunjukkan kurangnya kesedaran serta tanggungjawab terhadap kepatuhan peraturan. Isu ini bukan sekadar teknikal, tetapi melibatkan sikap perlu diperbaiki,” jelas Mahmood.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang pemeriksaan kenderaan, PUSPAKOM komited untuk terus menjalankan pemeriksaan dengan penuh profesionalisme dan integriti.
Syarikat itu turut menggesa semua pihak untuk bekerjasama dalam memastikan keselamatan jalan raya terus terjamin melalui proses pemeriksaan yang adil dan telus.
PUSPAKOM juga mengingatkan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama, dan kepatuhan terhadap pemeriksaan kenderaan adalah langkah penting dalam memastikan kelancaran serta keselamatan pengguna jalan raya di Malaysia.








