
PEUGEOT 208 DILANCAR PADA APRIL!
Peugeot 208 menjadi model serba baharu pertama yang akan diperkenalkan oleh Nasim pada tahun 2013. 208 dilihat bakal memainkan peranan penting dalam mencipta rekod baharu buat jenama Peugeot di Malaysia.
“Peugeot 208 serba baharu telah menerima banyak anugerah Car of the Year di Eropah. Kami jangka ia juga akan berjaya di Malaysia. Jentera ini sangat berbeza berbanding generasi sebelumnya dari segi reka bentuk, teknologi dan keselesaan. Ia juga lebih menyerlah berbanding pesaing lain di pasaran,” kata Ketua Pegawai Operasi Nasim, Datuk Samson Anand George.
Model kompak itu dikatakan bakal menyumbang secara signifikan terhadap sasaran jualan Nasim iaitu sebanyak 8,000 unit pada tahun ini yang merupakan kenaikan 30 peratus berbanding 2012. Tempahan 208 telah pun dibuka sejak dua minggu lalu.
Pada Disember 2012, 208 muncul sebagai kereta segmen B paling laris di Eropah. Selain menjadi model nombor satu dalam segmen kereta bandar di Perancis, Sepanyol dan Portugal. Februari 2013 menyaksikan Peugeot menghasilkan 208 yang ke-300,000 unit di kilangnya di Poissy, Perancis.
Supermini segmen B itu menggantikan model-model seperti 205 dan 206 menerusi binaan, kejuruteraan, gaya, ergonomik serta pengalaman pemanduan yang benar-benar berbeza.
Ditawarkan dalam varian tiga dan lima pintu, reka bentuk 208 sememangnya lincah dan moden. Kedua-duanya dijana oleh unit enjin 1.6 liter VTi berkuasa 122PS dan tork 160Nm. Penggunaan bahan apinya sekitar 6.7 liter bagi setiap 100 kilometer (laluan bercampur).
Dari segi keselamatan, 208 yang menerima penarafan lima bintang dalam Euro NCAP dilengkapi enam beg udara, ABS, EBA, EBD, ESP, DSC dan ASR sebagai ciri standard.
Bukan itu sahaja, hatch ini turut dipasang dengan pelbagai ciri menarik lain seperti lampu LED di bahagian depan dan belakang, skrin sentuh resolusi tinggi bersaiz tujuh inci, paparan LCD berwarna, pendingin hawa dua zon digital, ketersambungan Bluetooth, USB, iPod, iPhone, Android serta sistem audio prestasi tinggi Arkamys 3D.
Bagi merancakkan aktiviti pra-pelancaran 208, Nasim telah menganjurkan satu peraduan di laman Facebook bertemakan Let Your Body Drive yang menawarkan sebuah Samsung Galaxy Camera sebagai hadiah utama.
Jika berminat untuk menyertainya, anda perlu menjadi peminat laman Facebook Peugeot Malaysia. Kemudian hantar sekeping foto kreatif yang menggambarkan tema Let Your Body Drive bersama penerangan gambar. Peraduan bermula 18 Mac lalu dan akan berakhir pada 7 April 2013.
Selari dengan kempen Let Your Body Drive, tiga buah 208 Cruisers akan berada di beberapa lokasi terpilih di Kuala Lumpur bermula 30 Mac hingga 7 April depan. Maklumat lanjut, sila layari laman: www.facebook.com/peugeotmalaysia.
Harganya? Berdasarkan kepada pesaing sedia ada di pasaran seperti Ford Fiesta, Mekanika Malaysia menjangkakan 208 ditawarkan pada harga sekitar RM90,000 hingga RM100,000 seunit. Sama-sama kita nantikan.
[hr]
Galeri