
LANGKAH KANAN UNTUK JAMEEL MOTORS, FARIZON SV DAPAT PENARAFAN PLATINUM EURO NCAP
Farizon New Energy Commercial Vehicle Group merupakan bahagian kenderaan perdagangan Geely Holding Group.
Seperti biasa, produk mereka dibawa ke luar termasuk ke negara maju. Apabila berada di negara maju, sesebuah produk automotif perlu mempunyai piawaian keselamatan yang bagus.
Ujian tersohor pastinya Euro NCAP atau Program Penilaian Kereta Baharu Eropah.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Jameel Motors bertanggung jawab terhadap pengenalan Farizon SV di United Kingdom (UK).
Jameel Motors nampaknya membawa Farizon SV dengan langkah kanan setelah Euro NCAP memberi penarafan Platinum.
Farizon SV menerima 85 markah dan meletakkannya di antara pilihan kenderaan perdagangan terbaik dari segi keselamatan.
Penarafan ini juga menjadikan Farizon sebagai jenama kenderaan perdagangan elektrik China yang teratas di dalam penarafan Euro NCAP.
Sebagai salah satu organisasi ujian kemalangan kereta yang paling ketat dan berwibawa di dunia, keputusan Euro NCAP menyediakan rujukan penting untuk pengguna global.
Walaupun piawaian penarafan Euro NCAP yang dinaik taraf memberikan cabaran besar kepada pengeluar kenderaan, tujuannya adalah untuk memastikan kenderaan dapat memberikan perlindungan keselamatan terbaik buat pengguna.
Farizon SV dilengkapi teknologi keselamatan terkini dan membantu dalam memperolehi keputusan yang bagus.
Di dalam ujian pembrekan aktif AEB (Pembrekan Kecemasan Autonomi) kereta kepada kereta, Farizon SV mencatat markah 95 peratus (28.6/30) bagi pemanduan menghampiri kenderaan statik, kelajuan rendah dan beberapa lagi.
Prestasi pengecaman dan tindak balas terhadap pejalan kaki, kanak-kanak dan lintasan basikal turut menerima keputusan baik.
Untuk Sistem Sokongan Lorong (ELK/LKA, LDW, BLIS) dan Pengawasan Status (Bantuan Perhatian Pemandu), Farizon SV menerima markah penuh 20 dan 15.
Farizon SV bakal dilancar pada setengah tahun pertama 2025 dan ditawarkan dalam tiga jenis ukuran panjang dan tinggi.
Kapasiti bateri juga dalam tiga pilihan iaitu 67 kilowatt-jam (kWj) dan 83 kWj. Bateri 106 kWj bakal menyusul untuk perniagaan yang memerlukan jarak pemanduan lebih jauh.






