Modifikasi

NISSAN SILVIA S15 SPEC-R

Semua orang sedar bahawa Nissan menghasilkan dua jentera sports yang sangat hebat iaitu Nissan GTR dan Nissan 370Z. Kedua-dua model itu menjadi kegilaan mereka yang gemarkan kuasa dan gaya. Namun, sejak model Silvia dihentikan produksinya, Nissan telah hilang sebuah model sports entry level yang boleh dikatakan mampu milik.

Silvia bukanlah satu nama baru. Saya sedar orang Malaysia hanya kenal nama ini bermula dengan model S13 sahaja. Sebenarnya, nama Silvia mula digunakan pada tahun 1964 untuk model keluaran pertamanya.

Tahukah anda bahawa sebelum nama Silvia terkenal dengan sukan drift, ia terlebih dahulu terkenal dengan sukan rali? Haa… Kalau anda nak tau, versi Silvia S110 dan S12 pernah digunakan untuk perlumbaan rali dunia. Model yang paling popular ialah  240RS yang menggunakan enjin FJ24 turbo.

mekanika - silvia (2)

Kereta sports kompak ini merupakan sebuah jentera “sekolah lama” yang mementingkan keseronokan pemanduan dengan bantuan teknologi paling minima. Tidak ada sistem elektronik yang terlalu canggih digunakan. Cuma sebuah enjin bersesaran 2,000cc turbo yang diletak secara menegak, kemudian disambung kepada kotak gear manual dan gandar belakang bersama LSD. Cukup ringkas.

Daripada sebuah kereta asas seperti ini, terpulang kepada pemiliknya nak mengubahsuainya menjadi apa. Nak jadi kereta trek? Boleh. Kereta drag? Boleh. Kereta bawak awek? Pun boleh. Tapi rasanya ubahsuai paling popular buat masa ni dah tentulah nak jadi kereta drift. Macam Silvia merah ni, tetapi disesuaikan jugak untuk kegunaan jalan raya.

Modifikasi pertama dilakukan adalah dengan menaik taraf enjin SR20DET yang memang sudah ada di dalam ruang enjin. Enjin ini dalam keadaan sedia ada pun sudah boleh capai 250PS. Tetapi enjin ini mempunyai potensi modifikasi yang cukup besar.

Pemilik Silvia ini meleraikan enjin keretanya dan menggantikan aci sesondol asal kepada set BC Step 3 dengan bukaan 264°. Spring injap juga ditukar dengan spring injap BC bersama-sama rocker arm daripada Tomei. Cam gear enjin juga dipertingkat kepada aksesori buatan HKS.

Blok enjin tidak lupa dipertingkatkan dengan aci engkol utama yang diringankan dan diimbang. Manakala semua skru dan bolt diganti dengan aksesori buatan ARP. Bearing utama enjin juga diganti dengan bearing spec perlumbaan daripada Nismo bersama-sama timing chain sekali. Kepala silinder dan blok enjin dicantumkan semula dengan sekeping gasket keluli 1.2mm HKS berada di tengah-tengahnya.

mekanika - silvia (slider luar)

Tidak sah modifikasi enjin ini kalau sistem turbonya tidak dinaik taraf sekali. Berada di tempat turbin asal enjin ialah turbin Garret GT2876R yang diletak di atas manifold ekzos Tomei, lengkap berbalut dengan penebat haba gaya mumia Mesir, selain sebuah wastegate 50mm Tial.

Menyejukkan turbo sebesar buah kelapa Afrika ini menjadi tugas intercooler A’PEXi yang disambung dengan paip intercooler buatan custom. Blow-off valve jenis plumb back (maknanya, blow-off tak bising) dari GFB dipasangkan juga pada paip ini.

Bahan api disuap kepada enjin oleh sebuah pam bahan api Walbro 255lph. Ia melalui sebuah penyelaras bahan api Sard dan empat buah alat pancitan bahan api Power Enterprise 850cc. Untuk menyejukkan enjin, radiator yang dibuat untuk negara sejuk digantikan dengan radiator aluminium dari MT. Sebelum ditambah lagi dengan sebuah penyejuk pelincir enjin.

Gas ekzos yang keluar daripada enjin dilepaskan ke udara melalui sistem ekzos buatan custom dengan peredam bunyi A’PEXi di hujungnya. Sistem elektronik enjin diaturcara menerusi sebuah A’PEXi Power FC yang membolehkan enjin ditala sepenuhnya oleh pengguna. Tahap boost dikawal oleh pengawal boost elektronik A’PEXi AVC-R dan kotak air flow sensor dinaik taraf dengan alat yang sama daripada Nissan Fairlady Z.

Enjin ini telah diuji di atas mesin dyno. Hasil modifikasi yang dilakukan berjaya meningkatkan kuasa kuda enjin kepada 480hp atas roda jika menggunakan petrol biasa dan 520hp jika gunakan bahan api perlumbaan.

Memindahkan kuasa enjin ke jalan raya dilakukan melalui klac perlumbaan OS Giken plat berkembar dan sistem LSD jenis helical standard pada gandar belakang. Memandangkan Silvia ini model Spec-R, kotak gear yang didatangkan dengan kereta ini ada enam kelajuan standard dari kilang.

mekanika - silvia (4)

Kuasa tinggi kalau pengendalian ke laut tak guna juga kan? Jadi pemilik kereta ini telah berhabis ribuan ringgit untuk dapatkan pengendalian yang terbaik. Penyerap hentak asal diganti dengan penyerap hentak boleh laras dari HKS. Sementara rod camber dan caster asal diganti dengan jenis boleh laras daripada jenama Tein. Sebatang strut bar daripada Cusco ditambah pada bahagian hadapan untuk memantapkan lagi pengendalian kereta.

Brek kereta ini memang boleh dikategorikan sebagai mantap peringkat tertinggi dengan penggunaan brek aftermarket dari Brembo yang menggantikan brek asal daripada Nissan. Brek Brembo tersebut menggunakan pelapik brek Endless bagi memberhentikan kereta dengan pantas dan selamat (turun Genting tak hangit punya…)

Memenuhi ruang arca roda Silvia ini ialah satu set rim Works Emotion XD9 berdiameter 17 inci dengan lebar 8.5 di depan dan 9.5 inci di belakang. Rim lebar dengan offset kecil ini dibalut dengan getah dari Jepun iaitu Advan A048 225/40 di depan dan getah Jerman iaitu Federal 235/45 di belakang (Jepun dan Jerman ada getah ke?)

mekanika - silvia (3)

Walaupun S15 ni memang dah cukup cantik masa keluar dari kilang, tak salah nak pakai bodykit lain. Janji tak nampak macam kereta berhias. Silvia merah ini menggunakan bampar depan C-West dengan skirting sisi dan bumper belakang Vertex. Gugusan lampu belakang juga telah diganti dengan lampu jenis LED yang menyala lebih terang berbanding mentol biasa.

Ruang dalaman kereta ini masih nampak standard, cuma lubang-lubang pendingin hawa telah disi dengan meter-meter Auto Meter. Manakala stereng asal diganti dengan stereng Momo. Turbo timer A’PEXi pula dilekat pada papan pemuka yang berfungsi untuk menjaga turbo daripada rosak.

Diam tak diam, kereta ini sebenarnya sudah 10 tahun tidak dibina. Pasaran untuk kereta sports macam ni terbuka luas. Setakat ini, hanya Toyota yang mengisi ruang pasaran segmen berkenaan. Rasanya, alang-alang Carlos Ghosn nak hidupkan balik nama Datsun, elok jugak difikirkan untuk menyambung legasi Silvia dengan jenama Datsun. Wey! Datsun ada sejarah racing tau, ingat kereta driving school sahaja yang guna kereta Datsun?

mekanika - silvia (5)
[hr]

Spesifikasi

Pembuat / Model: Nissan Silvia S15 Spec-R

Modifikasi enjin: SR20DET, turbo Garret GT2876R, wastegate 50mm Tial, injap blow-off GFB, aci sesondol BC Step 3, HKS cam gear, spring injap BC, rocker arm Tomei, retainer BC, gasket 1.2mm HKS, bolt ARP, bearing Nismo, timing chain Nismo, aci engkol diringan dan diimbang, penapis udara Power Enterprise, intercooler A’PEXi, radiator aluminium MT, kit penyejuk pelincir, pam bahanapi Walbro 255lph, alat suntikan bahanapi 850cc Power Enterprise, air flow sensor Z31

ECU: A’PEXi Power FC, pengawal boost A’PEXi AVC-R

Kotak gear: Standard enam kelajuan dengan klac Ogura Racing

Sistem gantungan: HKS boleh laras, camber dan caster boleh laras Tein, strut bar Cusco

Rim/Tayar: Works Emotion XD9 17” / Advan A048 225/40 (depan), Federal 235/45 (belakang)

Brek: Brembo dengan pelapik brek Endless

Luaran: Bampar depan C-West, skirting sisi dan bumper belakang Vertex

Dalaman: Meter-meter Auto Meter, turbo timer A’PEXi, stereng Momo

 

 

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button