PEUGEOT 508 SW – WAGON CANTIK MACAM UKIRAN SENI
Satu perkara yang harus dipuji tentang pengeluar kenderaan di Malaysia ialah sikap tidak putus asa dalam memenuhi citarasa pelanggan. Jika diambil kira skala pasaran, negara kita tidak sebesar negara Asean lain.
Dalam perniagaan, angka adalah penting dan begitu juga dengan skala.
Jika dua perkara tersebut diambil kira pasti tiada model niche yang dipasarkan di sini. Mungkin kita hanya dapat merasa model-model umum sahaja yang senang dijual.
Syukurlah ia tidak berlaku dan kita masih lagi boleh menikmati kereta yang mempunyai pasaran niche. Salah satu segmen tersebut ialah wagon.
Peugeot misalnya tidak pernah mengalah dalam memasarkan model terbaru walaupun tahu di sini ialah pasaran jenama nasional dan Jepun.
Kita masih lagi boleh memiliki Peugeot 3008 yang banyak memenangi anugerah di peringkat dunia atau model rare Peugeot 208 GTI.
Sebelum itu kita juga ditawarkan dengan Peugeot RCZ dengan bumbung double bubble atau 308 cc dengan bumbung yang boleh disimpan.
Menarik bukan? Selain itu Peugeot juga pernah menawarkan 508 SW sebagai alternatif kepada 508 sedan.
Di peringkat global, 508 sedan sudah digantikan dengan model baharu dan sekumpulan jurnalis tempatan sudah mengujinya di luar negara beberapa bulan sebelum ini.
Bagaimana pula dengan model wagon? Wajib ada dan sempena itu Peugeot memperkenalkan 508 SW First Edition yang merupakan model terhad dan dipertontonkan di Pameran Kenderaan Paris 2018.
Berikut ialah ciri-ciri pada Peugeot 508 SW First Edition:
- Model terhad yang diasaskan dari varian GT
- Dilengkapi dengan beberapa kelengkapan unik sebagai tanda eksklusif
- Di antaranya ialah gril hitam kilat, roda aloi Augusta potongan berlian saiz 19 inci
- Dua warna luaran iaitu Twilight Blue dan Amazonite Grey
- Siling bumbung berwarna Mistral Black
- Lampu dalaman berwarna biru
- Kemasan dalaman dari kesan karbon
- Kerusi dengan kemasan kulit Nappa berkualiti tinggi dengan dua pilihan warna Mistral Black atau merah
- Pedal dan pelapik ambang pintu aluminium dengan cetakan nama model
- Sistem audio dari FOCAL®
- Skrin sesentuh 10 inci HD
- Bahagian but belakang diriasi kemasan kayu Zebrano
Selain kelengkapan di atas, First Edition juga dilengkapi teknologi Night Vision sama seperti 508 dan 508 SW biasa. Teknologi ini adalah yang pertama untuk kereta segmen D massa di mana ia mampu mengesan objek halangan di hadapan pada waktu malam dengan jarak sehingga 200m lebih daripada lampu utama.
Peugeot 508 SW First Edition dikuasakan oleh enjin baharu 1.6L PureTech 225 S&S EAT8 dan 2.0L BlueHDi 180 S&S EAT8.
Untuk makluman, Peugeot 508 sedan bakal memasuki negara pada awal tahun depan. Bagaimana pula dengan versi SW? Peminat tempatan perlu sabar menanti pengesahan memandangkan model ini baru sahaja diumumkan di Paris.
TONTON: VIDEO PANDU UJI: PEUGEOT 208 GTI – MAMPU SAINGI FD2R DALAM DRAG RACE?
BACA: PANDU UJI: PEUGEOT 3008 – PENUHI SEGALA EKSPEKTASI