
STELLANTIS MALAYSIA PERLUAS JARINGAN DENGAN PUSAT SERVIS SUBANG DAN BILIK PAMERAN DESA PARK CITY
Stellantis Malaysia terus mengorak langkah dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran tempatan dengan pelancaran dua fasiliti baharu yang menawarkan pengalaman lebih eksklusif kepada pemilik Peugeot dan Leapmotor.
Dengan pembukaan Pusat Servis Subang dan bilik pameran di Desa Park City – dikendalikan oleh Allure Auto, syarikat ini menegaskan komitmennya dalam memberikan perkhidmatan selepas jualan lebih baik serta pengalaman pemilikan kenderaan yang premium.
Pusat Servis Subang merupakan kemudahan pertama di Malaysia yang menggabungkan servis untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) Peugeot dengan Leapmotor Hub bagi penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) berteknologi tinggi di bawah satu bumbung.

Dengan keluasan 5,702 kaki persegi, pusat ini dilengkapi enam ruang servis dan dua kawasan penyerahan bagi memastikan proses servis berjalan lancar dan cekap.
Selain itu, lima juruteknik serta penasihat servis bertauliah yang dilatih khas oleh Stellantis akan memastikan setiap pelanggan menerima perkhidmatan terbaik, termasuk sokongan alat ganti serta servis berjadual.
Untuk memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik kenderaan, pusat ini turut menawarkan talian bantuan kecemasan 24/7 yang membolehkan mereka mendapatkan bantuan teknikal dengan segera sekiranya berlaku sebarang masalah di jalan raya.

Dalam masa sama, bilik pameran Desa Park City yang terletak di kawasan premium Kuala Lumpur direka untuk memberikan pengalaman pelanggan lebih moden dan interaktif.
Ruang pameran ini bukan sekadar tempat jualan kenderaan, tetapi juga lokasi eksklusif di mana pelanggan boleh merasai sendiri keunikan model Peugeot dan Leapmotor yang dipamerkan.
Bilik pameran ini menampilkan lounge premium yang dilengkapi televisyen serta konfigurasi interaktif untuk membantu pelanggan memilih model paling sesuai dengan keperluan mereka.
Selain itu, pelbagai kemudahan lain seperti kopi dan minuman turut disediakan bagi memastikan setiap kunjungan lebih selesa dan menyenangkan.

Semua bilik pameran Allure Auto beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 6 petang, manakala Pusat Servis Subang dibuka dari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8:30 pagi hingga 5:30 petang dan pada hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 2:30 petang, sementara ia ditutup pada hari Ahad.
Dengan pelancaran dua fasiliti baharu ini, Stellantis Malaysia terus membuktikan kesungguhan mereka dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web www.peugeot.com.my dan www.leapmotor.com/my .