Buletin

PIHAK BERKUASA SINGAPURA SIASAT LELAKI TUKAR NOMBOR PLAT DI STESEN MINYAK

Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) kini dilapor sedang menyiasat insden seorang lelaki yang menukar nombor plat keretanya ketika mengisi minyak di sebuah stesen di Malaysia.

Dalam gambar yang tular di media sosial baru-baru ini, lelaki berseluar pendek yang memandu sebuah BMW 3 Series berwarna emas dilihat menukar nombor plat yang dikatakan didaftarkan pada sebuah kereta Hyundai. 

Kejadian itu berlaku di sebuah stesen minyak di Gelang Patah, Johor yang mengambil masa kira-kira 10 minit memandu dari pusat pemeriksaan Tuas. Siasatan dibuat selepas pemilik kereta Hyundai itu membuat laporan kepada pihak berkaitan. 

Dia dikatakan menukar plat asal SLX27E kepada nombor SKD2777C. Pemeriksaan yang dibuat di laman web One Motoring LTA mendapati nombor itu didaftarkan pada sebuah Hyundai Elantra. 

BMW berkenaan didapati melanggar had laju di lebuh raya Utara Selatan di Malaysia hanya selepas sejam menukar plat nombor dan saman dikeluarkan ke atas Hyundai terbabit. 

Seorang saksi memberitahu akhbar The Straits Times: “Terdapat banyak kereta warga Singapura di stesen minyak pada pagi itu. Tetapi dia dengan selamba menukar nombor plat secara terbuka. Ramai yang terkejut dengan apa yang kami lihat. 

“Pemandu BMW itu memang angkuh dan menjadi contoh buruk kepada pemandu Singapura yang lain. Apa jadi kalau dia terlibat dalam kemalangan di Malaysia dan seseorang cedera atau maut. Syarikat insurans boleh mencabar tuntutannya,” katanya. 

Aksi menukar plat itu dirakam oleh pemandu Singapura yang kemudian memuat naik ke laman Facebook pada petangnya. Laman Facebook SG Road Vigilante turut berkongsi gambar tersebut yang membuatkannya tular.   

Netizen kemudian memuat naik  paparan portal MyEG yang menunjukkan dua saman tertunggak yang dikeluarkan kepada Hyundai tersebut. 

“Perkara ini sudah tular, Jika tiada tindakan diambil, mungkin ada yang meniru pemandu BMW ini menukar plat kenderaan ketika memandu di Malaysia,” katanya lagi. 

Timbalan Ketua Polis Johor, Mohd Kamaruddin Md Din memberitahu pihaknya masih belum menerima apa-apa laporan mengenai pemandu Singapura menukar plat kereta mereka di Malaysia. 

“Setakat ini belum ada lagi. Jika benar ada, kami mahu tindakan tidak bertanggungjawab ini dihentikan. Kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,”katanya. 

Di bawah Akta Pengangkutan Jalan, pemilik kereta yang didapati menggunakan plat nombor lain boleh didenda sehingga RM5,000 dan penjara selama setahun. Kenderaan itu juga boleh disita. 

“Walaupun kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura menggunakan nombor plat palsu itu dipandu di Malaysia, tetapi ia boleh menyebabkan orang lain dikenakan denda yang tidak dilakukan olehnya. Jadi, situasi ini sudah cukup untuk pelaku disabitkan dengan kesalahan memalsukan plat kenderaan di bawah Akta Trafik Jalan Raya atau menipu,” kata seorang peguam dari firma Chia Wong di Singapura. 

Di Singapura pula, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak S$5,000 (RM15,224) dan/atau penjara selama setahun.

sumber: The Star 

Google ads
Back to top button