Artikel Pilihan

KENAPA KERETA DI SINGAPURA MAHAL YA ROBBI?

Rasanya ramai yang sudah sedia maklum yang kos sara hidup di Singapura memang tinggi dan begitu juga dengan kos untuk memiliki kereta di sana. Tengok harga Perodua Myvi yang baru saja dilancarkan di sana. RM197,093 tahu, tu pun ramai yang komplen konon harga kereta di Malaysia mahal.

Kenapa sampai macam tu sekali mahalnya? Biar kami cuba terangkan sedikit sebanyak bagaimana harga kereta ditentukan di Singapura.

Dengan sekatan baru yang dikenakan oleh Kementerian Kewangan Singapura (MAS) ke atas pinjaman kereta motor selain struktur cukai pendaftaran tambahan (ARF), kebanyakan bakal pembeli di sana pun mengalami kesukaran untuk memahami kenapa harga kereta di sana tinggi sangat.

Faktor yang mempengaruhi harga kereta di Singapura ialah:

  • Yuran pendaftaran – ia merupakan yuran asas yang berharga $220 (RM672.99).
  • GST (7 peratus GST ke atas duti eksais + nilai pasaran terbuka (OMV). Sejenis cukai pengguna yang dikenakan berdasarkan nilai sesuatu barangan.
  • Duti eksais (20 peratus nilai OMV). Sama seperti ARF, duti eksais juga dikira berdasarkan OMV sesebuah kenderaan.
  • Nilai pasaran terbuka (OMV) – dipantau oleh pihak Kastam Singapura dengan mengambil kira nilai perolehan, pengangkutan, insuran dan segala caj yang bersangkutan dengan penghantaran kenderaan dari negara pengeluar ke Singapura. OMV bagaimanapun bukanlah harga modal yang diberikan kepada pengeluar kepada pengedar.

Sijil pemilikan (COE) – sijil ini mempunyai 5 kategori:

  1. Kategori A – kereta dengan sesaran sehingga 1600 cc dengan output tidak melebihi 130 bhp.
  2. Kategori B – kereta lebih besar dengan output melebihi 130 bhp ataupun sesaran melebihi 1600 cc.
  3. Kategori C – Kenderaan perdagangan dan bas.
  4. Kategori D – Motosikal.
  5. Kategori E – Terbuka
  • Yuran pendaftaran tambahan (ARF) – 100 peratus berdasarkan OMV. Kereta  dengan nilai OMV $20,000 tidak akan terjejas tetapi untuk $30,000 seterusnya ($20,001 hingga $50,000) cukai yang yang akan dikenakan ialah 140 peratus manakala bagi kereta dengan nilai OMV melebihi $50,000 pula cukai yang akan dikenakan ialah 180 peratus. Ya tuan-tuan, cukai hampir dua kaliganda dari harga kereta!
  • Vehicular Emissions Scheme (VES) – bermula 1 Januari 2018, ia telah diguna untuk menggantikan sistem Carbon Emissions-based Vehicle Scheme. Sasaran sistem VES baharu ini bukan hanya untuk mengurangkan sisa karbon  yang terlepas ke udara tetapi juga mengawal keluaran hidrokarbon, karbon monoksida, nitrus oksida dan pelbagai partikel lain yang menjejaskan alam sekitar. Sistem VES baru ini juga menyaksikan semakin kurang jumlah kereta yang layak menerima rebet kerana peraturan emisi yang semakin ketat.

Contoh pengiraan harga sebuah kereta – Honda Civic 1.8 i-VTEC

  • Bayaran pendaftaran – $220
  • OMV – $19,370
  • Duti eksais (20 peratus dari OMV) -$3,874
  • COE – $38,000
  • ARF – $19,370
  • VES $0

Kos asas sebuah kereta – $82,460

Harga ditetapkan pengedar – $101,999

Perbezaan sebanyak $19,539 (tanggungan lain, cukai jalan, bayaran nombor plet kenderaan, komisyen jualan, keuntungan pengedar dan macam-macam lagi.

Berdasarkan kadar pembiayaan 70 peratus yang ditetapkan, bakal pembeli perlu menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak 30 peratus daripada kos keseluruhan menjadikannya $30,600. Macam mana? Ada rasa macam Malaysia lagi mahal ke? Sini siap ada zero downpayment tahu, siap ada iklan besar-besar walaupun sebenarnya ia menyalahi peraturan.

Perlu juga diingatkan yang disebabkan kos seperti COE inilah menyebabkan kos pemilikan kereta di Singapura melambung.

COE mesti diperbaharui sebelum ianya tamat ataupun anda akan dikenakan denda tambahan. Kereta tanpa COE ataupun COE telah tamat tempoh tidak layak digunakan di atas jalan dan boleh dilupuskan.

Ramai yang tidak sanggup membayar kos COE untuk kereta yang melebihi usia 5 tahun dan memilih untuk melupuskannya.  

BACA: PERODUA MYVI DILANCARKAN DI SINGAPURA. RM197,093!

Google ads
Back to top button