Buletin

PORSCHE CAYENNE GENERASI KETIGA – 2 VARIAN, 340HP DAN 440HP  

Sime Darby Auto Performance (SDAP) hari ini memperkenalkan generasi ketiga Porsche Cayenne ke pasaran Malaysia.

Model yang cukup berjaya di seluruh dunia ini dibina baharu sepenuhnya. Ia menggabungkan aspek prestasi dan praktikal untuk dipandu setiap hari.

Cayenne didatangkan dalam dua varian yang dibezakaan menerusi output kuasa enjin. Enjin turbo bersesaran 3.0 liter mampu menjana kuasa 340hp, 40hp lebih tinggi berbanding model sebelumnya.

Sementara enjin V6 biturbo yang dipasang pada Cayenne S pula berupaya menghasilkan kuasa 440hp (naik 20hp). Ia boleh memecut sehingga 265km/j dengan pecutan 0-100km/j dapat dicatat dalam masa kurang lima saat.     

“Cayenne menjanjikan karakter sebenar yang lebih tepat, elegan, atletik dan ekspresif. Ruang kabinnya kini lebih canggih untuk memberi kemudahan dan keselesaan.

“Semua ini membuatkan pengalaman memandu Porsche semakin menyeronokkan dan kekal sebagai sebuah kereta sports untuk lima orang penumpang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SDAP, Arnt Bayer.

Jentera ini adalah seberat 2,020kg atau 65kg lebih ringan berbanding model terdahulu. Malah, kelengkapan standard pada Cayenne baharu ini turut ditambah.

Bagi menawarkan pemanduan yang lebih selesa dan berprestasi, Cayenne menggunakan suspensi udara tiga chamber, sistem peredam yang dikawal secara elektronik dan pacuan semua roda.

Sama seperti model 911, SUV ini menggunakan gabungan tayar yang mempunyai siz berbeza buat pertama kalinya.

Bukan itu sahaja, kemantapan pemanduan ditingkatkan melalui aplikasi Kawalan Chasis Porsche 4D dan Porche Dynamic Chassis (PDCC). Prestasi membrek pula ditambah baik menerusi brek yang disalut dengan material khas dikenali sebagai Porsche Surface Coated Brake.

Cayenne bakal berada di Malaysia menjelang suku ketiga tahun ini. Bagi yang berminat, anda boleh menempahnya sekarang di semua pengedar sah Porsche di seluruh negara.

GALERI 

Google ads
Back to top button