Artikel Pilihan

HYPERCAR BARU PORSCHE – MISSION S 8 SILINDER BOXER TURBO

Porsche terus mencetuskan tanda tanya mengenai model sport berprestasi tinggi terbaharu dikenali sebagai Mission S, apabila video teaser terbaharu memaparkan takometer yang mencecah 8,000 rpm. Model konsep ini dijadualkan membuat kemunculan rasmi pada 15 Oktober 2026 dan dijangka menjadi gambaran awal kepada barisan kereta sport baharu yang berada di atas Porsche 911.

Video pendek yang diterbitkan Porsche itu memberikan gambaran terhad mengenai ruang pemandu Mission S. Antara perkara paling menarik ialah paparan takometer dengan jarum yang meningkat sehingga menghampiri zon merah pada 8,000 rpm, sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai jenis enjin yang bakal digunakan.

Walaupun angka tersebut belum mengesahkan had putaran maksimum enjin versi produksi, ia memberikan petunjuk bahawa Porsche mungkin sedang membangunkan rangkaian kuasa baharu atau menggunakan konfigurasi enjin yang diubahsuai secara menyeluruh. Tetapi cideo berkenaan bagaimanapun tidak memaparkan bunyi enjin, menyebabkan jenis dan konfigurasi sebenar rangkaian kuasanya masih menjadi misteri.

Satu lagi perincian menarik ialah penggunaan panel instrumen yang boleh bergerak keluar dan masuk. Paparan meter fizikal serta digital itu kelihatan berubah kedudukan ketika sistem diaktifkan, memberikan elemen mekanikal yang berbeza berbanding pendekatan kokpit yang semakin bergantung pada skrin digital.

Reka bentuk tersebut mengingatkan kepada mekanisme panel meter boleh alih yang pernah digunakan pada beberapa model berprestasi tinggi Lexus LFA. Namun, Porsche masih belum menjelaskan sama ada mekanisme itu akan dikekalkan pada model produksi atau sekadar elemen reka bentuk bagi kereta konsep ini.

Dari segi kedudukan dalam barisan model, Mission S merupakan projek penting buat Porsche kerana syarikat itu sedang merancang platform kereta sport berenjin pertengahan yang terletak di atas 911. Porsche sebelum ini mengesahkan pembangunan platform berkenaan sebagai sebahagian daripada strategi untuk menaikkan kedudukan jenama Porsche dalam segmen kereta sport eksklusif.

Langkah ini turut membuka peluang kepada kemunculan beberapa model berprestasi tinggi berasaskan platform yang sama pada masa hadapan. Sekiranya dibawa ke peringkat produksi, Mission S berpotensi menjadi pengganti spiritual kepada Porsche 918 Spyder, sekali gus menandakan kemunculan semula jenama Jerman itu dalam segmen hypercar.

Untuk rekod, Porsche 918 Spyder menggunakan sistem hibrid yang menggabungkan enjin V8 aspirasi semula jadi dengan motor elektrik. Kuasa keseluruhan model tersebut mencapai 887 hp, menjadikannya antara kereta produksi paling berteknologi tinggi yang pernah dihasilkan Porsche.

Bagi Mission S, terdapat spekulasi bahawa Porsche mungkin mempertimbangkan penggunaan enjin 8 silinder boxer, iaitu konfigurasi lapan silinder mendatar dengan kemungkinan penggunaan sistem hibrid serta pengecas turbo. Porsche belum mendedahkan kapasiti enjin, jumlah kuasa, angka tork atau prestasi pecutan Mission S. Paparan gear Park dan Drive dalam teaser hanya memberikan petunjuk bahawa konsep tersebut menggunakan transmisi automatik PDK.

Buat masa ini, Porsche masih belum mengesahkan sama ada Mission S akan memasuki pengeluaran secara besar-besaran atau bila versi produksi bakal diperkenalkan. Maklumat lanjut dijangka diketahui apabila kereta konsep itu didedahkan pada 15 Oktober ini.

Google ads
Back to top button