Artikel Pilihan

BEKAS TAKUNGAN MINYAK RETAK, ENJIN BOXER JAHANAM

Sebuah enjin Porsche 911 Carrera keluaran 2012 mengalami kerosakan dalaman yang sangat serius selepas kehilangan bekalan minyak pelincir akibat keretakan pada oil sump. Insiden ini memnunjukkan bagaimana kerosakan pada satu komponen yang kelihatan ringkas boleh menyebabkan keseluruhan enjin berprestasi tinggi mengalami kerosakan teruk.

Kisah tersebut dilaporkan oleh saluran YouTube I Do Cars yang meleraikan enjin berkenaan dengan Porsche berkenaan dianggarkan mempunyai nilai sekitar kira-kira RM45,000 menjadikan kerosakan tersebut satu kerugian yang besar. Porsche 911 Carrera generasi 991.1 yang menggunakan enjin 9A1 flat-six berkapasiti 3.4 liter itu merupakan antara enjin penting dalam sejarah pembangunan Porsche 911 kerana ia memperkenalkan beberapa perubahan kejuruteraan berbanding generasi sebelumnya.

Salah satu ciri utamanya ialah penggunaan konfigurasi enam silinder mendatar atau flat-six dengan kedudukan enjin di bahagian belakang kenderaan. Susunan ini memberikan Porsche 911 karakter pemanduan tersendiri, selain membantu menghasilkan pusat graviti yang rendah.

Bagaimanapun, kehebatan kejuruteraan enjin tersebut tidak dapat mengelakkan kerosakan apabila sistem pelinciran gagal berfungsi dengan sempurna. Punca kejadian dipercayai bermula apabila oil sump enjin mengalami keretakan dimana komponen ini berfungsi menyimpan minyak pelincir sebelum ia disedut oleh pam minyak untuk diedarkan ke bahagian dalaman enjin.

Apabila oil sump mengalami keretakan, minyak enjin mula keluar dan menyebabkan paras pelincir semakin berkurangan. Apabila paras minyak pelincir berkurang dengan mendadak, pam minyak akhirnya tidak lagi dapat membekalkan minyak secukupnya kepada komponen yang memerlukan pelinciran.

Keadaan ini dikenali sebagai oil starvation, iaitu situasi apabila enjin tidak menerima bekalan minyak pelincir yang mencukupi untuk memastikan semua komponen bergerak beroperasi dengan selamat. Dalam sebuah enjin yang beroperasi pada putaran tinggi, masalah ini boleh membawa akibat yang sangat serius.

Komponen kritikal enjin seperti crankshaft, connecting rod dan bearing memerlukan lapisan minyak yang berterusan bagi mengurangkan geseran antara permukaan logam. Minyak pelincir sebenarnya membentuk satu lapisan pemisah antara permukaan komponen yang bergerak. Apabila minyak pelincir gagal dihantar, lapisan tersebut semakin hilang dan menyebabkan permukaan logam mula bergesel secara langsung.

Geseran berlebihan akan menghasilkan haba yang tinggi, sekali gus mempercepatkan kehausan dan kerosakan komponen dalaman. Dalam keadaan tertentu, bearing boleh mengalami kerosakan sehingga berpusing pada kedudukannya, satu keadaan yang dikenali sebagai spun bearing.

Crankshaft juga tidak terkecuali kerana permukaan journal yang bersentuhan dengan bearing boleh mengalami calar dan kerosakan akibat kekurangan pelinciran. Sekiranya kerosakan sudah terlalu serius, proses membaik pulih mungkin tidak lagi ekonomik berbanding menggantikan keseluruhan enjin.

Tetapi bukan semua komponen dalaman mengalami kerosakan pada tahap yang sama. Ada bahagian yang masih kelihatan baik, manakala beberapa komponen penting menunjukkan kesan kerosakan serius akibat kegagalan sistem pelinciran. Kes ini turut mengingatkan pemilik kenderaan bahawa oil sump bukan sekadar bekas penyimpanan minyak enjin.

Bagi kereta sport yang mempunyai kelegaan tanah rendah, risiko oil sump terkena objek di permukaan jalan juga perlu diambil kira. Batu, bonggol, permukaan jalan tidak rata atau objek yang terjatuh di atas jalan boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian bawah enjin sekiranya hentaman berlaku dengan cukup kuat.

Jadi pemandu tidak sepatutnya mengabaikan tanda amaran tekanan minyak enjin, kebocoran minyak atau bunyi luar biasa daripada bahagian enjin. Jika lampu amaran tekanan minyak menyala ketika memandu, tindakan paling selamat ialah memberhentikan kenderaan di tempat yang sesuai dan mematikan enjin secepat mungkin.

Apa yang berlaku kepada Porsche 911 Carrera ini membuktikan bahawa sebuah enjin yang dibangunkan dengan teknologi dan kejuruteraan canggih sekalipun masih bergantung kepada perkara asas seperti bekalan minyak pelincir yang mencukupi. Dalam kes ini, keretakan pada satu oil sump akhirnya menyebabkan sebuah enjin bernilai puluhan ribu ringgit mengalami kerosakan yang sangat serius.

Google ads
Back to top button