Buletin

PROTON EXORA TEKSI 1MALAYSIA

Sebagai salah satu bentuk sokongan terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP), PROTON Holdings Berhad (Proton) baru-baru ini telah menjalin kerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk menjayakan program 1Malaysia Taxi. 

Kolaborasi itu menyaksikan Proton akan membekalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Exora yang telah diubah suai untuk digunakan sebagai teksi.

Antara penambahbaikan yang dibuat ke atas teksi Proton Exora ialah ruang kabin dan kaki lebih luas dan kerusi barisan kedua boleh dilipat sepenuhnya. MPV itu juga dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti beg udara untuk pemandu dan penumpang, selain sistem brek anti kunci (ABS) dengan EBD.

proton taxi

Teksi itu juga telah siap dipasang dengan meter bayaran, fasiliti pembayaran kad debit dan kredit, terminal data mudah alih serta peralatan NGV. Bagi program 1Malaysia Taxi, teksi Proton Exora didatangkan dengan dua pilihan transmisi iaitu manual dan automatik.

Sebanyak 1,000 unit teksi Proton Exora bakal diserahkan kepada SPAD bermula Jun 2013. Penyerahan akan dibuat secara berperingkat-peringkat sehingga akhir Oktober depan.

Sedia maklum bahawa Proton sudah membekalkan kenderaan untuk dijadikan teksi sejak tahun 1980-an lagi. Harus tahu juga bahawa syarikat automotif negara itu sebenarnya merupakan pembekal tunggal teksi bajet.

Sehingga kini, sebanyak 60,000 kereta keluaran Proton telah digunakan sebagai teksi. Antara model yang terlibat ialah Iswara, Waja, Saga dan Persona.

Apa yang pasti, inisiatif ini bukan sahaja boleh meningkatkan kualiti industri teksi negara, malah menyumbang kepada sektor pelancongan tempatan.

 

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button