Pandu Uji

SURVIVAL SUZUKI SWIFT

Selaku pengeluar kenderaan yang tidaklah sebesar Honda atau Toyota, menghasilkan produk yang popular dan boleh dijual dalam tempoh lama cukup kritikal. Maka, tidak hairanlah jika Suzuki mempunyai harapan tinggi terhadap model kompaknya, Swift. 

Untuk makluman, Swift telah dipasarkan di lebih 100 buah negara di seluruh dunia. Ia juga berjaya mencipta impak signifikan di pasaran Eropah serta Asia. Indikatornya, Swift sudah mengumpul 63 anugerah Car of the Year Awards di 19 buah negara termasuk Malaysia.

Selepas berada di pasaran tempatan selama hampir tujuh tahun, pengedar kenderaan jenama Suzuki di Malaysia, Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (SMA) akhirnya melancarkan Swift pada Januari lalu.

IMG_2671-Edit

Biarpun begitu, situasi tersebut seolah-olah bukan satu masalah besar buat Suzuki terutama apabila berbicara tentang Swift. Memang terbukti, walaupun sudah berada lama di bilik pameran, orang ramai masih berminat untuk membelinya. Nyata reka bentuknya yang tidak dimakan usia memainkan peranan penting untuk terus menarik minat pembeli.

Swift kini sudah memasuki generasi ketiga. Model itu sebenarnya telah ditawarkan di pasaran antarabangsa sejak beberapa tahun lalu. Baru sekarang ia mula dibawa masuk oleh pihak SMA dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

Sekali pandang, kereta kompak ini seakan-akan tidak menerima banyak perubahan berbanding model terdahulu. Sebelum anda membuat sebarang tekaan, cuba baca dan teliti apakah penambahbaikan yang ada pada Swift baharu ini.

IMG_2601

Jangan tidak tahu, perubahan yang dibuat melibatkan hampir semua aspek kenderaan tersebut. Dilihat pada bahagian hadapan, Swift kelihatan lebih dinamik dan energetik. Lekuk pada bonet bersambung dengan bampar dan nampak cukup sepadan dengan reka bentuk  lampu utamanya yang lebar.

Profail sisi Swift juga kemas dengan garis tubuh dan rekaan tingkap belakang yang lebih kecil. Pembaharuan paling ketara adalah pada bahagian belakang Swift. Lampunya kini diletakkan dalam perumah berwarna jernih.

Selari dengan imejnya yang sporty, ambien ruang kabin Swift dimonopoli oleh warna hitam. Sedikit calitan warna krom kemudian diberikan pada stereng, corong pendingin hawa dan tuil gear. 

IMG_2614

Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin menjadi ciri standard Swift. Sementara konsol tengah dihuni oleh unit audio double DIN yang boleh memainkan muzik daripada format cakera padat dan MP3, selain sambungan USB.

Tipikal kereta buatan Jepun, walaupun luarannya nampak kompak, Swift masih mampu menawarkan ruang yang sewajarnya kepada pemandu dan penumpang. Ruang kaki dan kepalanya luas, sekali gus membolehkan anda duduk dengan selesa.

Kenapa? Ini kerana saiznya adalah lebih besar berbanding model terdahulu. Lebih tepat lagi, panjangnya bertambah kepada 3,850 milimeter (mm), sebelum ini hanya 3,755mm). Lebar menjadi 1,695mm (1690mm) dan tapak rodanya juga berubah kepada 2,430mm (sebelum ini 2,390mm).

IMG_2721

Secara tidak langsung, dimensi itu turut menyumbang kepada peningkatan kestabilan dan keseronokan memandu yang sememangnya cukup sinonim dengan Swift. Percaya atau tidak, antara sebab utama kenapa orang membeli Swift adalah dinamik pemanduan yang ditawarkannya. Jelas sekali DNA itu dikekalkan, malah telah ditambah baik untuk model ini.

Ada yang skeptikal apabila mendapat tahu bahawa sesaran enjin Swift kali ini lebih kecil. Enjin K14B dengan sistem variable intake-valve timing (VVT) bersesaran 1.4 liter itu mengambil peranan untuk menggantikan enjin 1.5 liter yang digunakan sebelum ini.

Saya boleh katakan, keseronokan memandu Swift langsung tidak tergugat. Percayalah, enjin berkuasa 95PS (kurang 6PS berbanding enjin 1.5) dengan tork maksimum 130Nm itu mampu membuatkan anda tersenyum setiap kali pedal minyak ditekan.

IMG_2619

Rahsia di sebalik prestasi itu adalah hasil kejayaan jurutera Suzuki mengimbangi aspek nisbah berat kuasa jentera. Bukan itu sahaja, anda juga akan kagum dengan penjimatan bahan api yang ditawarkan oleh Swift.

Buat masa sekarang, SMA hanya menawarkan Swift dalam satu varian sahaja iaitu GLX. Jika anda mahu lebih gaya, model yang ditambah dengan aksesori tulen Suzuki iaitu GLX-S mungkin perlu dipertimbangkan.

Pengarah Kumpulan, Automotif dan Pertahanan DRB-Hicom, Datuk Abdul Harith Abdullah menyatakan Swift menjadi bukti kesungguhan pihaknya untuk memperoleh peratusan pasaran lebih signifikan di Malaysia.

IMG_2638

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Suzuki mengalami pertumbuhan kukuh di pasaran antarabangsa dan Malaysia. Bagi tahun kewangan 2011/2012 misalnya, SMA telah menjual sebanyak 7,595 unit kenderaan, peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Swift merupakan penyumbang terbesar dengan mewakili 73 peratus daripada jualan keseluruhan.

“Kami menjangkakan  2013 kekal positif buat Suzuki. SMA juga mensasarkan untuk meningkatkan jualan kenderaannya sebanyak sepuluh peratus untuk tahun kewangan kali ini,” tambah Abdul Harith.

Untuk keseronokan memandu, penjimatan dan rekaan kompak yang oleh bertahan sekurang-kurangnya lima tahun lagi, harga yang ditawarkan iaitu RM77,888 (di atas jalan) boleh dianggap sebagai berpatutan Jadi, jika anda mahu memiliki sebuah kereta dengan bajet sekitar RM80,000 Swift wajib ada dalam senarai pendek anda.   

[hr] Spesifikasi Suzuki Swift

Enjin: K14B dengan sistem variable intake-valve timing (VVT)

Kuasa maksimum:  95PS @ 6,000rpm

Tork maksimum: 130Nm @ 4,000rpm

Transmisi: empat kelajuan automatik

Suspensi hadapan: Topang MacPherson

Suspensi belakang: Torsion beam

Berat keseluruhan: 1,000kg

Kapasiti tangki: 42 liter

[hr]

Galeri

IMG_2577IMG_2581IMG_2588IMG_2608IMG_2611IMG_2625IMG_2643IMG_2627IMG_2636IMG_2691IMG_2696IMG_2710IMG_2715IMG_2716IMG_2721IMG_2724IMG_2726

Foto:

Nizam Zainuddin (017-398 0797)

https://www.facebook.com/theputehproductionklphotography

Busana: 

Shawn Sinar Sutera

Tel: 012-677 8961 / 017-2427981

http://www.facebook.com/pages/SHAWN-SINAR-SUTERA

Talent: Al Faizah Othman

 

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button