Buletin

PROTON SAGA CATAT JUALAN TERTINGGI DALAM SATU DEKAD, LANCAR KEMPEN “SAGA-MERDEKA MUDAH DIMILIKI”

Dalam tahun ke-39 pengeluarannya, Proton Saga, kereta pertama Malaysia yang dihasilkan oleh PROTON, mencatatkan jualan luar biasa sebanyak 7,855 unit pada bulan lalu.

Angka ini menandakan pencapaian terbaik untuk model tersebut sejak Oktober 2013. Secara keseluruhan, jualan Proton Saga setakat ini (YTD) telah meningkat sebanyak 8.8 peratus berbanding tahun lalu kepada 42,693 unit.

Sejak pengeluarannya yang pertama pada 9 Julai 1985, Proton Saga telah mencapai jualan melebihi 2 juta unit tahun ini.

Kejayaan ini mengukuhkan statusnya sebagai model paling popular dari jenama automotif Malaysia.

Sebagai tonggak utama dalam rangkaian tawaran PROTON, Proton Saga membuktikan kebolehpercayaannya di kalangan pelanggan sepanjang tiga dekad ini.

Sehubungan itu, PROTON sedang memperkukuh kedudukannya dalam pasaran dengan kerjasama erat bersama Zhejiang Geely Holding Ltd (Geely) untuk meneroka aktiviti peningkatan model dari platform sedia ada.

Usaha kerjasama antara PROTON dan Geely telah berlangsung selama bertahun-tahun dan kini dipercepatkan selepas penubuhan pusat R&D PROTON di China pada April tahun ini.

Sinergi antara kecekapan dalaman PROTON dan sumber serta pengetahuan Geely kini semakin diperkukuhkan, membuka jalan untuk peningkatan model-model tempatan PROTON dengan sokongan Geely.

Perkembangan berkaitan, sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, PROTON melancarkan kempen “SAGA-MERDEKA MUDAH DIMILIKI” bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia memiliki Proton Saga dengan tawaran yang tiada tandingan.

Sepanjang bulan Ogos ini, PROTON menawarkan rebat tunai RM500 untuk pembelian mana-mana model Proton Saga, menjadikan kenderaan ikonik ini lebih mampu milik.

Tambahan lagi, pelanggan Maybank layak menerima rebat tambahan RM200 apabila menunjukkan mesej promosi daripada Maybank di pengedar Proton yang mengambil bahagian.

Tawaran eksklusif ini tersedia untuk tempahan secara walk-in pada hujung minggu 10 dan 17 Ogos.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, pelanggan disarankan untuk melawat bilik pameran PROTON terdekat.

Google ads
Back to top button