TIADA LAGI JUALAN, KENDERAAN GUNA NGV MULAI JULAI TAHUN DEPAN
Mulai 1 Julai tahun depan, semua kenderaan menggunakan gas asli (NGV) tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri selepas mengambil kira faktor keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
“Sehubungan itu Petronas akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat di pasaran sebelum penamatan sepenuhnya mulai 1 Julai 2025.
“Bekalan runcit NGV di seluruh negara juga ditamatkan secara berperingkat bermula 1 Oktober lalu dan menjelang suku tahun kedua 2025, tiada lagi sebarang bekalan runcit NGV akan ada di dalam pasaran tempatan,” katanya pada sidang media Pengumuman Dasar Penggunaan Kenderaan NGV di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, bagi membantu peralihan pemilik kenderaan NGV kepada bahan api lain, Petronas NGV Sdn Bhd (PNGV) mengambil inisiatif untuk menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV untuk kumpulan sasar yang terjejas, iaitu pemandu kenderaan teksi NGV, para pemilik kenderaan bahan api tunggal dan juga dwibahan api NGV.
“Program Bantuan Peralihan ini terdiri daripada tiga pakej,” jelasnya.
Keputusan terbabit diambil berdasarkan kepada asas pertimbangan faktor keselamatan kepada pengguna terutamanya pemilik kenderaan yang dikuasakan dengan NGV.
Terdapat lebih kurang 44,383 kenderaan aktif yang berdaftar dengan bahan api NGV di dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Katanya, jumlah kenderaan motor yang dikuasakan dengan bahan api NGV adalah amat kecil berbanding jumlah keseluruhan kenderaan motor berdaftar di Malaysia, iaitu 0.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan motor (selain motosikal). – Awani
- BACA: JPJ PANGGIL SEMULA 3,722 KERETA PERODUA ALZA, ARUZ, MOTOSIKAL HONDA CB350R
- BACA: MODEL TAMIYA GR YARIS R/C – MUNGKINKAH INI HADIAH TERBAIK UNTUK MUSIM CUTI HUJUNG TAHUN NANTI?
- BACA: TASKL 2024: SUBARU BRZ DAN WRX TAMPIL DENGAN LIVERI MALAYSIANA
- BACA: TRAK PIKAP EV RIDDARA RD6 DILANCARKAN DI THAILAND: EMPAT VARIAN, HARGA BERMULA RM116K