Buletin

PROTON MUNGKIN JUAL LOTUS UNTUK TERUS HIDUP

Seperti yang dilaporkan oleh Automotive News Europe, DRB-HICOM, pemilik PROTON Holdings mungkin terpaksa melepaskan syarikat Lotus dalam usaha untuk menstrukturkan perniagaan mereka. Lotus tidak lagi menjadi keutamaan perpindahan teknologi kerana beban kewangan kini tidak memungkinkan Proton dapat bersaing dengan liabiliti besar.

Sejak menguasai saham majoriti Lotus pada 1996, Proton secara relatifnya tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya teknologi dari syarikat British tersebut. Akses terhadap penyelidikan dan pembangunan juga sangat terhad memandangkan modul perniagaan kedua-dua syarikat ini berbeza. Proton memfokuskan produksi kereta massa sementara Lotus adalah perniagaan falsafah Colin Chapman, tentang kereta sports kecil yang ringan dan pengendalian jitu.

Lotus-Evora-400-mekanika (4)

Pada hari ini Proton berdepan dengan cabaran yang sangat getir. Penguasaan pasarannya merosot teruk dengan hanya menjual 102,000 buah kereta tahun lepas. Unjuran ekonomi yang perlahan juga memaksa Proton meminta bantuan kerajaan.

Pada April lepas, kerajaan telah menyuntik pinjaman modal sebanyak RM1.5 billion dan seperti yang dimaklumkan dalam sidang akhbar sewaktu pelancaran Persona bulan lepas, pinjaman ini perlu untuk digunakan sebagai dana kepada pembekal mereka.

Ia bukanlah pinjaman semata-mata, sebagai syarat Proton perlu mendapatkan rakan kongsi strategik supaya model perniagaan mereka dapat terus bertahan. Pernah menguasai pasaran tertinggi 70 peratus pada 90-an namun kini jatuh ke paras 15 peratus, DRB-HICOM akan terus rugi kerana Proton beroperasi di bawah keupayaan sebenar.

Proton-Saga-Plus-mekanika (3)

Mereka memiliki fasiliti pengeluaran di Tanjung Malim yang sepatutnya merupakan pelaburan jangkapanjang yang positif dan dengan kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak 400,000 unit setahun. Sebagai rekod, ketika zaman puncak, Proton menjual lebih 200,000 kereta setahun dan angka itu merosot hampir 50 peratus pada hari ini.

Pada awal tahun ini, Proton telah menghantar proposal kepada lebih 20 pengeluar. Suzuki, Renault dan Peugeot dikatakan telah menyatakan minat mereka, namun enggan mengulas lanjut kerana masih dalam fasa perbincangan.

Pada tahun 2007, Proton telah mengadakan diskusi yang serius bersama Volkswagen AG dan General Motors. Ramai pihak berpendapat, ia adalah detik sangat penting untuk melihat anjakan paling besar bakal berlaku dalam syarikat automotif negaa ini. Namun akhirnya, persefahaman tidak berjaya kerana Proton dikatakan tidak mahu melepaskan saham majoritinya kepada pihak asing.

Realitinya, model perniagaan dalam sektor automotif sudah banyak berubah. Memiliki saham negara sendiri 100 peratus hanya enak didengar di atas kertas. Jika volum jualan hanya berkisar pada angka domestik, sukar untuk Proton berdaya saing. Kita bukan negara China. TIV (Jumlah Volum Industri) kita sangat kecil.

 

 

 

 

 

 

 

 

Google ads
Back to top button