
PRO-NET JELAS STRATEGI PENGECASAN, SASAR PENGHANTARAN LEBIH PANTAS
Ketika Proton e.MAS meraikan pencapaian 40,000 kenderaan elektrik (EV) di jalan raya Malaysia, PROTON menerusi anak syarikatnya, Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), kini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem pemilikan EV bagi memastikan pengalaman pengguna menjadi lebih mudah, praktikal dan meyakinkan.
Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Bahagian Pengecasan PRO-NET, Ahmad Munif Halim, dan Ketua Jualan Proton e.MAS, Duan Bingbing, semasa sesi temubual bersama media bersempena majlis penyerahan Proton e.MAS ke-40,000 baru-baru ini.
Menurut Ahmad Munif, antara cabaran utama yang masih dihadapi pengguna EV di Malaysia ialah akses dan keterlihatan lokasi pengecasan awam, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dan kediaman bertingkat.
Beliau berkata, PRO-NET sedang memperluaskan kerjasama dengan pelbagai penyedia kemudahan pengecasan bagi memastikan pengguna Proton e.MAS dapat mengakses rangkaian pengecasan yang lebih luas melalui aplikasi Proton e.MAS.
“Cabaran utama bukan sahaja jumlah pengecas, tetapi juga memastikan pengguna tahu di mana lokasi pengecasan yang tersedia. Melalui aplikasi Proton e.MAS, pengguna boleh mencari stesen pengecasan berhampiran, merancang perjalanan dan mengakses pelbagai rangkaian pengecasan dengan lebih mudah,” katanya.

Ketika ini, ekosistem pengecasan Proton e.MAS merangkumi ribuan titik pengecasan di seluruh negara, termasuk kemudahan yang disediakan di pembangunan kediaman bertingkat menerusi kerjasama dengan pengendali pengecasan dan pengurusan hartanah.
Ahmad Munif berkata, majoriti pemilik EV masih melakukan pengecasan di rumah dan atas sebab itu PRO-NET menyediakan penyelesaian pemasangan pengecas rumah kepada pelanggan baharu.
Bagi penghuni kondominium dan apartmen pula, syarikat bekerjasama dengan penyedia kemudahan pengecasan untuk memperluaskan akses kepada infrastruktur tersebut.
Dalam masa sama, beliau mengesahkan PRO-NET sedang membangunkan hab pengecasan berjenama Proton e.MAS sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem EV negara.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pendekatan syarikat bukan untuk bersaing dengan pengendali pengecasan (CPO) sedia ada, sebaliknya melengkapkan ekosistem yang telah dibangunkan oleh pemain industri.
Sebelum ini, PRO-NET mengumumkan kerjasama strategik dengan beberapa CPO termasuk DC Handal, JomCharge dan ChargeEV bagi memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara. Inisiatif tersebut turut menawarkan integrasi pembayaran dan akses pengecasan melalui aplikasi Proton e.MAS.
Sementara itu, Duan Bingbing mengakui permintaan terhadap rangkaian Proton e.MAS berkembang lebih pantas daripada jangkaan asal, sekali gus menyebabkan sebahagian pelanggan terpaksa menunggu lebih lama untuk menerima kenderaan mereka.
Menurut beliau, syarikat telah meningkatkan kapasiti pengeluaran sejak beberapa bulan kebelakangan ini bagi menangani isu berkenaan dan memastikan lebih banyak kenderaan dapat dihantar kepada pelanggan dalam tempoh yang lebih singkat.
“Beberapa bulan lalu, kapasiti pengeluaran kami tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran. Namun keadaan kini semakin bertambah baik apabila pengeluaran dipertingkatkan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata, tempoh menunggu semasa secara purata berada sekitar dua hingga tiga bulan bergantung kepada model, varian dan warna yang dipilih pelanggan.
PRO-NET sebelum ini memaklumkan bahawa PROTON turut melaburkan tambahan RM37 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kilang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) daripada 20,000 unit kepada 42,000 unit setahun bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Selain pengembangan kapasiti pengeluaran, Duan berkata syarikat turut memberi perhatian kepada aspek pengalaman pemilikan jangka panjang termasuk pengukuhan rangkaian selepas jualan, pembangunan komuniti pengguna dan pengenalan lebih banyak inisiatif yang memberi nilai tambah kepada pemilik Proton e.MAS.
Dengan pertumbuhan pesat jualan EV dan pembangunan berterusan infrastruktur pengecasan, PRO-NET yakin Proton e.MAS berada pada landasan kukuh untuk terus memperluaskan pengaruhnya dalam pasaran mobiliti elektrik tempatan sambil menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.








