
ANDA NAK BELI S70 LITE? 11 PERKARA NI MUNGKIN MENJENGKELKAN ANDA
Proton S70 Lite bakal menjadi antara pilihan paling menarik untuk pembeli yang mahukan sebuah sedan bersaiz besar tanpa perlu menyediakan bajet lebih RM60,000. Dengan harga yang disasarkan di bawah RM60,000, saiz badan yang lebih besar berbanding kebanyakan kereta dalam lingkungan harga ini dan enjin 1.5 liter NA, S70 Lite sememangnya mempunyai tarikan tersendiri.
Tetapi ada satu perkara yang bakal pembeli perlu faham yang harga yang rendah itu datang bersama beberapa kompromi. S70 Lite bukanlah S70 varian tinggi yang dijual murah. Sebaliknya, Proton telah mengurangkan beberapa kelengkapan untuk membolehkan model ini ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik.
Jadi kalau anda sedang mempertimbangkan S70 Lite, inilah 11 perkara yang anda perlu terima dan berdamai dengan takdir sebelum membuat keputusan.
1. Lampu depan halogen – S70 Lite menggunakan lampu utama halogen dan bukannya LED. Namun Proton masih memberikan LED DRL dan lampu isyarat membelok LED, jadi rupa keseluruhan kereta masih kelihatan moden. Cuma dari segi lampu utama, pembeli memang perlu menerima bahawa S70 Lite menggunakan teknologi yang lebih asas dan mungkin kurang terang berbanding LED
2. Tiada Lampu LED Bar -S70 Lite dan Prime juga tidak diberikan jalur lampu belakang penuh yang menjadi salah satu elemen visual menarik S70. Jadi kalau anda berharap mendapatkan rupa belakang S70 yang lengkap dengan light bar penuh, model NA ini memang bukan jawapannya.
3. Tiada Parkir Sensor Depan – S70 Lite hanya diberikan penderia parkir di bahagian belakang dan penderia parkir depan tidak disediakan. Ini mungkin tidak menjadi masalah besar bagi pemandu yang sudah biasa mengagak saiz kereta, tetapi S70 mempunyai badan yang agak besar dan penderia depan sememangnya boleh membantu ketika masuk ke ruang parkir yang sempit. Dalam kes ini, kamera undur dan penderia belakang perlu digunakan sebaik mungkin.
4. Cermin Sisi Lipat Manual – Cermin sisi S70 Lite juga tidak mempunyai fungsi auto-folding seperti varian yang lebih tinggi. Maksudnya, apabila kereta dikunci, cermin sisi tidak akan dilipat secara automatik. Ia mungkin nampak seperti ciri kecil dan tidak begitu penting, tetapi bagi pemilik yang sudah biasa dengan fungsi tersebut, ketiadaannya pasti akan dirasai setiap hari. Namun begitu, ini bukan bermaksud cermin sisi langsung tidak boleh dilipat secara manual.

5. Tiada AEB & ADAS – S70 Lite tidak dilengkapi Autonomous Emergency Braking atau AEB, selain tidak mempunyai pakej ADAS hadapan seperti kebanyakan kereta moden. Tetapi Proton masih memberikan beberapa sistem bantuan keselamatan lain seperti Blind Spot Monitoring, RCTA, Lane Change Assist, Door Opening Warning dan Rear Collision Warning selain 6 Enam beg udara juga masih disediakan.
6. Rim 16 Inci – S70 Lite menggunakan rim aloi 16 inci dengan tayar bersaiz 205/55 R16, berbanding rim 17 inci pada varian lebih tinggi. Dari sudut penampilan, rim yang lebih kecil mungkin tidak memberikan rupa segarang rim 17 inci, tetapi ia bukan semestinya sesuatu yang buruk. Profil tayar yang lebih tinggi berpotensi memberikan ride comfort yang lebih selesa dan kos tayar juga biasanya lebih rendah.
7. Kusyen fabrik – S70 Lite menggunakan tempat duduk berbalut fabrik dan bukannya leatherette. Bagi sesetengah pembeli, ini mungkin dianggap sebagai pengurangan kerana material leatherette memberikan penampilan yang lebih premium. Namun untuk cuaca Malaysia yang panas, fabrik juga mempunyai kelebihan kerana permukaannya biasanya tidak terasa sepanas material kulit atau leatherette apabila kereta ditinggalkan di bawah matahari.
8. Stering Urethene – S70 Lite juga menggunakan kemasan yang lebih asas berbanding varian yang lebih tinggi. Ia tidak mendapat balutan leatherette. Dari segi fungsi, perkara ini tidak mengubah cara kereta dipandu, tetapi dari segi rasa ketika memegang stereng dan persepsi terhadap kualiti kabin, perbezaannya memang boleh dirasakan.
9. Penghawa Dingin Tiada Ciri Auto – S70 Lite juga menggunakan kawalan manual tanpa sistem kawalan suhu automatik. Pemandu perlu melaraskan sendiri suhu dan kelajuan kipas mengikut keadaan. Di negara seperti Malaysia, fungsi paling penting sebenarnya adalah memastikan kabin sejuk, dan perkara itu masih diberikan. Jadi ketiadaan sistem auto air-cond mungkin tidak terlalu membebankan, cuma ia bermakna satu lagi ciri keselesaan yang perlu dilepaskan.

10. Perehat Kepala Belakang Statik – S70 Lite tidak diberikan perehat kepala kusyen belakang yang boleh dilaraskan. Ia mungkin kelihatan seperti perkara kecil, tetapi pelarasan headrest boleh membantu mendapatkan posisi yang lebih selesa mengikut ketinggian penumpang. Bagi pemilik yang ingin memasang babyseat, isu ini mungkin akan mengganggu mereka
11. Kusyen belakang tiada perehat tangan tengah – penumpang belakang S70 Lite perlu melupakan perehat tangan tengah. Tiada armrest yang boleh diturunkan dari bahagian tengah tempat duduk belakang. Bagi perjalanan pendek, mungkin tidak ada siapa yang akan peduli. Tetapi apabila membawa dua penumpang di belakang untuk perjalanan jauh, ketiadaan armrest ini mungkin mula dirasai kerana ia biasanya memberikan tambahan keselesaan serta ruang untuk meletakkan tangan dan pemegang cawan.
Selepas melihat kesemua 11 perkara tersebut, mudah untuk kita menganggap S70 Lite sebagai sebuah kereta yang terlalu asas. Sebenarnya tidak. Proton masih mengekalkan banyak kelengkapan yang cukup menarik untuk sebuah kereta yang harganya disasarkan di bawah RM60,000.
Antaranya ialah skrin infotainmen 8 inci dengan sokongan wireless Apple CarPlay dan wireless Android Auto. Ini bermakna pengguna masih boleh menggunakan aplikasi pada telefon seperti navigasi dan muzik tanpa perlu menyambungkan telefon menggunakan kabel setiap kali masuk ke dalam kereta.
Selain itu, S70 Lite turut mendapat electric parking brake (EPB) dan Auto Brake Hold, yang sememangnya menjadi ciri praktikal untuk pemanduan harian terutama ketika berdepan kesesakan lalu lintas. Semua tingkap juga mempunyai fungsi Auto Up/Down bersama Anti-Trap.
Proton turut memberikan remote engine start, cruise control serta beberapa ciri keselamatan seperti Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Enam beg udara pula menjadi kelengkapan standard. Jadi, walaupun 11 perkara telah dipotong atau tidak ditawarkan, Proton sebenarnya masih meninggalkan banyak ciri yang relevan untuk kegunaan harian.
Kalau anda mahu sebuah S70 yang lengkap dengan lampu LED, rim besar, kerusi leatherette, cermin sisi auto-folding, sensor parkir depan dan sistem ADAS lengkap, jangan beli Lite dengan harapan semua itu boleh didapati pada harga bawah RM60,000.
Tetapi kalau perkara yang paling penting bagi anda ialah saiz kereta, ruang kabin, ciri infotainmen, kamera undur, sistem keselamatan asas, keselesaan harian dan harga pembelian yang rendah, S70 Lite masih mempunyai pakej yang cukup menarik.







