Sony Computer Entertainment (SCE) kini telah dikenali dengan nama Sony Interactive Entertainment (SIE). Selain daripada pertukaran nama ini Sony juga telah mengumumkan untuk membawa memperkenalkan Playstation khusus untuk kegunaan telefon pintar.
Langkah ini sememangnya dialu-alukan kerana sebelum ini hanya syarikat Nintendo yang menawarkan produk mereka khusus untuk telefon pintar. Kini ia akan dapat digunakan melalui platform mobil Google dan juga Apple.
Playstation sebenarnya mempunyai sejarah yang cukup lama. Saya sendiri khususnya diperkenalkan kepada Playstation melalui Playstation 1 ataupun PS1. Jadi bila ramai yang mengatakan konsol permainan pertama mereka ialah PS2 ataupun PS3, maksudnya saya ni memang dah berusia atau lebih tepatnya, tua.
Mereka juga menggelarkan PS1 sebagai retro. Tapi perlu diingat, menerusi PS1 inilah saya diperkenalkan dengan pelbagai permainan terbaik ciptaan Sony pada masa itu seperti Gran Turismo 2, Tekken 3, Metal Gear Solid dan banyak lagi (menarik pada masa itu).
Kini PS sudah banyak berubah dan digantikan dengan PS4 dan sebagainya. Untuk bersaing dengan saingan mereka yang memperkenalkan alat permainan yang mudah dibawa kemana-mana seperti Nintendo, mereka telah memperkenalkan Sony Playstation Portable (PSP). Permainannya masih lagi sama tetapi ia lebih mudah dibawa ke mana. Ia kemudian ditingkatkan kepada PSP Vita dan macam-macam lagi.
Tetapi kini telefon pintar sudah menguasai gaya hidup dan menjadi satu keperluan. Jadi adalah tidak bijak jika kita terpaksa membawa pelbagai gajet untuk kegunaan seharian. Langkah Sony memperkenalkan Playstation untuk telefon pintar memang sangat ditunggu-tunggu. Ia juga boleh didapati dalam versi iOS dan juga android. Kini generasi telefon pintar juga akan lebih mengenali permainan yang dimainkan oleh para bapa dan abang-abang mereka terdahulu.
Sony juga mengumumkan mereka telah menubuhkan satu cabang syarikat baharu yanag dinamakan ForwardWorks. Syarikat baharu ini akan bertanggungjawab membangunkan permainan-permainan khusus untuk Playstation versi telefon pintar. Syarikat yang beroperasi pada April tahun ini juga akan memastikan kelancaran operasi dan memastikan permainan-permainan baru dan lama mereka dilindungi dengan hak intelek.
Kelebihan Sony ialah mereka sudah berada dalam industri ini untuk satu tempoh yang lama dan semestinya mereka cukup masak dengan kehendak pelanggan mereka khususnya pengguna telefon pintar di Jepun dan Asia yang merupakan sasaran utama mereka.
Kenapa Sony mengambil langkah memperkenalkan Playstation untuk telefon pintar? Satu faktornya mestilah untuk membuat keuntungan tak kan lah nak buat kebajikan pula. Perlu diingat bahawa pada zaman ini, manusia sanggup membayar untuk secebis nostalgia silam. PS mempunyai sejarah yang panjang. Kalau tidak kenapa produser Hollywood sampai sekarang masih mengeluarkan filem-filem Star Wars?
Permainan pertama akan dilancarkan pada awal tahun hadapan berdasarkan kenyataan daripada ForwardWorks tetapi fasa pertama ialah untuk pasaran Jepun dan Asia. Untung juga kita berada di Asia. Pasaran Eropah dan Amerika akan menyusul kemudian.
Permainan yang akan dikeluarkan setakat ini masih belum dapat dipastikan tetapi yang pasti Sony tentu sekali akan mengeluarkan permainan-permainan mereka yang sangat popular seperti Gran Theft Auto, Gran Turismo, God of War, Grand Theft Auto, Resident Evil dan banyak lagi.
Seperti kebanyakan kaki-kaki kereta, Gran Turismo sememangnya cukup sinonim dengan kami. Mana lagi tempat atas dunia ni kita boleh mendapatkan lesen perlumbaan kelas super (S) dengan mudah selain melalui Playstation.
Anda boleh memandu hampir kesemua jenis kereta di atas muka bumi, membuat tuning (penyelarasan) dengan sesuka hati, memandu di hampir semua litar lumba terkenal dan mengetahui sejarah sesebuah kereta.
Kehebatan team Gran Turismo dalam menghasilkan permainan ini telah menarik perhatian Nissan untuk mendapatkan idea mereka sewaktu menghasilkan Nissan GTR. Hasilnya ialah paparan grafik pelbagai fungsi yang kini berada di papan pemuka Nissan GTR. Tidak mustahilnya permainan ini dikenali sebagai The Real Driving Simulator.