Buletin

PROTON PERDANA TERBALIK DIREMPUH LAMBORGHINI

Sebuah Lamborghini yang dipandu laju hilang kawalan sebelum merempuh sebuah Proton Perdana dari arah belakang sehingga terbalik dalam kejadian di Jalan Tun Razak menghala Bulatan Pahang di sini pada pagi Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian pada jam 8.40 pagi itu, beberapa buah kenderaan yang sedang berhenti dalam kesesakan turut dilanggar kereta mewah berkenaan.

Pemandu Lamborghini berusia 42 tahun itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Bulatan Pahang. Dia yang memandu laju dikatakan terkejut kerana ada kesesakan lalu lintas di jalan berkenaan.

“Akibatnya, kenderaan yang dipandu hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kereta termasuk Proton Perdana yang dipandu seorang wanita berusia 53 tahun sehingga terbalik.

“Semua pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, saringan ujian air kencing dan alkohol yang dilakukan terhadap pemandu berkenaan mendapati dia negatif penggunaan bahan terlarang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sinar Harian 

Google ads
Back to top button