Buletin

LOTUS EMIRA GT4, ENJIN TOYOTA 3.5L V6 400BHP!

Pengeluar kereta sport Britain iaitu Lotus jika tidak terlibat di dalam sukan permotoran memang tidak sah. Jenama Lotus sudah tiada di dalam Formula 1 namun aktiviti permotorannya tetap berlangsung.

Jualan kenderaan Lotus tidak besar seperti pengeluar kereta sport lain dan walaupun begitu tetap komited dalam menganjurkan siri Lotus Cup sejak sekian lama.

Lotus juga menyediakan model khas untuk pelanggan yang mahu menggunakannya di dalam perlumbaan.


Terbaru Lotus memperkenalkan Emira GT4 yang sedia untuk digunakan di litar lumba. Emira adalah model baharu Lotus yang diperkenalkan pada 7 Julai 2021.

Emira GT4 dibangunkan dengan kerjasama RML Group dari United Kindom yang telah beroperasi sejak tahun 1984.

Lotus sebelum ini mempunyai senarai kejayaan cemerlang dengan Evora GT4 memenangi pelbagai perlumbaan dan kejuaraan seperti Dubai 24 Jam, Barcelona 24 Jam, European GT, Sepang 12 Jam dan Cabaran Dunia Pirelli.

Bukan sahaja Evora, hampir setiap model moden Lotus mempunyai versi perlumbaan dan Emira meneruskan legasi tersebut.

Model jalanan Emira mempunyai dua pilihan enjin iaitu 2.0L turbo dari Mercedes-AMG dan 3.5 liter V6 supercharged keluaran Toyota. Untuk Emira GT4, Lotus menggunakan enjin dari Toyota.

Berikut ialah spesifikasi Lotus Emira GT4 dan sasaran prestasi:

  • Enjin: Toyota 3.5 liter V6 2GR-FE. 
  • Kuasa: 400bhp*.
  • RPM: 7,200 rpm.
  • Supercharger: Harrop TVS 1900.
  • Transmisi: 6 kelajuan xTrac dengan paddle shift dan LSD.
  • Suspensi: Öhlins.
  • Aerodinamik: Spoiler belakang, splitter depan.
  • Brek: Angkup dan cakera Alcon dan Bosch Motorsport ABS.
  • Tayar: Pirelli GT4 265/645×18 (depan), 305/680×18 (belakang).
  • Berat kering: 1,260kg*.

*Bergantung kepada BoP (Balance of Performance/Ujian dan analisa melalui perlumbaan lepas).

Pelancaran rasmi Emira GT4 akan dibuat di litar ujian Hethel dan Lotus merancang untuk mengeluarkan sejumlah unit terhad bagi musim perlumbaan 2022 sebelum ditingkatkan pada musim 2023.

Untuk rekod, Lotus mempunyai tujuh kejuaraan pengeluar dan enam pemandu di dalam Formula 1, satu kejuaraan Rali Dunia, empat kejuaraan GT dan pelbagai lagi kemenangan.

Kumpulan Lotus sekarang ini dimiliki oleh Geely Automotive dengan pegangan sebanyak 51 peratus dan baki 49 peratus oleh syarikat tempatan iaitu Etika Automotive. 

BACA: IBARAT JET PEJUANG DALAM DUNIA LAYANG-LAYANG – PERUMPAMAAN LOTUS EVIJA

BACA: LOTUS EMIRA 2022. PILIHAN ENJIN MERCEDES-AMG DAN V6 TOYOTA. KABIN LEBIH CANTIK

BACA: PADA 2004 VAUXHALL VXR220 DIPERKENAL, ‘SEPUPU’ LOTUS ELISE 

Google ads
Back to top button