Buletin

PROTON X70 TERIMA LEBIH 15,000 TEMPAHAN, VARIAN PREMIUM PALING LARIS

Sebentar tadi, Proton menjemput kami dalam satu majlis makan malam santai. Dalam usaha untuk merapatkan hubungan antara syarikat pembuat kereta itu dengan pihak media automotif tempatan, beberapa isu telah dibincangkan dan kami juga sempat bertanyakan tentang beberapa soalan.

Sudah tentu, antara yang paling hangat diperkatakan ialah tentang sambutan model SUV terbaru X70. Menurut Dato Rashid Musa, CEO Proton Edar, sambutan terhadap X70 cukup menggalakkan di mana mereka menerima purata tempahan sebanyak 200 hingga 300 unit sehari sejak ia dilancarkan secara rasmi dua minggu yang lalu.

BACA: VERSI CKD X70 AKAN BERMULA TAHUN DEPAN

Sewaktu ia dibuka untuk tempahan, sebanyak 10,000 unit sudah ditempah dan dengan perkembangan semasa, anggaran keseluruhan tempahan sehingga hari ini ialah melebihi 15,000 unit. Menurut Rashid lagi, lebih 1,000 unit telah dihantar kepada pelanggan dan varian yang paling laku ialah varian Premium.

“Adalah biasa bagi mana-mana model baru yang diperkenalkan, varian Premium lazimnya akan mendapat sambutan tinggi. Apa lagi dengan ciri-ciri terbaik pada X70 dan kami percaya, pembeli melihat nilai yang berbaloi dengan wang yang dibelanjakan,” ujar beliau.

Varian premium mewakili lebih 60 peratus jualan X70 dan warna apa yang paling laris ialah Jet Grey.

Jet Grey, warna yang jadi pilihan majoriti pembeli tempatan

Proton X70 2WD Premium yang berharga RM 123,800 tampil dengan segala teknologi canggih pada kereta hari ini. Namakan sahaja, semuanya ada.

BACA: 5 PERKARA YANG KAMI SUKA TENTANG PROTON X70

Lampu LED, cermin suria, lampu auto, penggilap cermin auto, kerusi kulit Nappa, penapis udara dalaman, meter digital, arahan suara, sambungan internet 4G, enam beg udara dan sejumlah akronim keselamatan seperti ABS, EBD, BA, Brake Hold, ESC, TCS, HHA, HDC, ESS, AEB, FCW, ACC, LDW, BLIS, IHBC, TPMS dan kamera 360 darjah.

Secara ringkasnya teknologi ADAS atau Advanced Driver Assistance System membolehkan kereta menjalankan fungsi bantuan pemanduan secara automatik seperti menjarakkan dengan kenderaan hadapan, brek kecemasan dan mengawal stereng dari terbabas ke laluan sebelah.

Semuanya ada dan lengkap. SUV setara dengan kelengkapan sebegini biasanya dipasarkan pada harga jauh lebih tinggi dan sesetengah jenama premium sendiri tidak menawarkannya.

Google ads
Back to top button