Buletin

RENAULT GROUP KONGSI PELESENAN FIREMAN ACCESS PERCUMA, PADAM KEBAKARAN EV TERUS KEPADA BATERI

Memadam kebakaran kenderaan elektrik memerlukan teknik khas. Satu daripadanya dengan menebuk lubang lantai untuk air sampai ke bateri bagi mengelakkan larian terma (thermal runaway) atau tindak balas berantai.

Daripada menebuk, Renault Group menyediakan lubang khas sebagai persediaan dan dipanggil Fireman Access dan dibangunkan bersama jabatan bomba.

Tidak ‘makan sorang’, Renault Group berkongsi pelesenan Fireman Access kepada pemain industri automotif secara percuma.

Sebagai timbal balas, pemegang lesen perlu berkongsi sebarang penambahbaikan dengan komuniti lain.

Langkah ini satu daripada komitmen Renault Group untuk bekerjasama dengan Utusan Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Keselamatan Jalan Raya, Jean Todt.

Objektifnya adalah bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya di seluruh dunia dan menerapkan inovasi teknologi bagi menyelamatkan nyawa di jalan raya.

Ciri-ciri Fireman Access:

  • Dibangunkan melalui kerjasama rapat di antara Renault Group dan perkhidmatan bomba.
  • Fireman Access membolehkan pasukan penyelamat memadam kebakaran kenderaan elektrik secepat kenderaan pembakaran dalaman.
  • Kepingan berbentuk cakera ditampal pada bukaan atau lubang lantai bateri.
  • Jika berlaku kebakaran, pancutan air bertekanan tinggi dari hos bomba akan menanggalkan cakera tersebut dan membasahi sel bateri bagi mengelakkan larian terma.
  • Tujuh paten telah difailkan untuk Fireman Access.
  • Digunakan pada semua kenderaan elektrik dan hibrid plug-in Renault, Dacia, Alpine dan Mobilize.

Kelebihan Fireman Access

  • Membolehkan pasukan bomba dan penyelamat memadam kebakaran bateri kenderaan elektrik dalam beberapa minit berbanding beberapa jam.
  • Menggunakan sepuluh kali ganda lebih sedikit air berbanding kaedah konvensional.
  • Membolehkan anggota bomba kembali bersedia untuk operasi lain dengan lebih cepat.

Renault Group akan menyertai Persidangan Menteri Global ke-4 mengenai Keselamatan Jalan Raya di Marrakech, Maghribi pada Februari dan menonjolkan komitmen Renault terhadap keselamatan jalan raya.

Acara ini juga memberi peluang untuk Renault Group Morocco memperkukuh kerjasama dengan perkhidmatan keselamatan tempatan.

Peluang ini turut membolehkan subsidiari kumpulan berkongsi pelbagai program Yayasan Renault Group dalam meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah di seluruh Maghribi.  

Google ads
Back to top button