Buletin

SELAMAT TINGGAL MAZDA 2: ERA PETROL BERAKHIR, KINI HANYA VERSI HYBRID DI PASARAN

Mazda 2 dengan enjin petrol kini secara rasmi tiada lagi di pasaran United Kingdom.

Pengeluar Jepun itu telah menghentikan produksi model supermini ini dan menggantikannya sepenuhnya dengan Mazda 2 Hybrid – yang sebenarnya merupakan model Toyota Yaris dengan penjenamaan semula.

Keputusan ini dibuat sejajar dengan strategi elektrifikasi Mazda, memandangkan model generasi ketiga Mazda 2 kini sudah berusia hampir 11 tahun.

Versi enjin pembakaran dalaman (ICE) kian ketinggalan zaman dan tidak mendapat kemas kini besar, menyebabkan angka jualan tidak cukup kuat untuk mengekalkan produksinya.

Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Mazda 2 Hybrid terjual lebih 1,000 unit berbanding model petrol.

“Kami kini beralih sepenuhnya kepada model Hybrid kerana ia sejajar dengan perjalanan kami ke arah elektrifikasi,” kata seorang jurucakap Mazda.

“Ketika ini, varian Hybrid memenuhi permintaan pelanggan runcit yang masih belum bersedia untuk beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik.”

Mazda menolak dakwaan bahawa keputusan ini dibuat kerana tekanan daripada mandat Kenderaan Sifar Emisi (ZEV).

Syarikat itu menegaskan bahawa fleksibiliti dalam peraturan membolehkan mereka mengelak daripada sebarang penalti meskipun pencapaian industri hanya mencapai 19.6 peratus berbanding sasaran 22 peratus.

“Kami akan memenuhi keperluan peraturan ZEV/VETS menjelang 2030 dan akan kekal bebas daripada penalti menerusi fleksibiliti sedia ada serta pengenalan kenderaan elektrik bateri (BEV) bermula 2026,” tambah jurucakap Mazda.

Mazda juga komited dengan pendekatan pelbagai hala terhadap elektrifikasi, termasuk pembangunan enjin rotari sebagai penjana dalam model MX-30 R-EV dan penerokaan potensi bahan api e-fuel.

Google ads
Back to top button