Buletin

SEAT GUNA DRON HANTAR KOMPONEN KERETA, JIMAT MASA

Dron mempunyai pelbagai kegunaan dan tidak terhad kepada hobi atau rakaman video sahaja. Di antara fungsi lain dron ialah dalam bidang pertanian, pencegahan kebakaran, rondaan sempadan dan sebagainya.

Semakin banyak kegunaan dron berjaya diteroka dan terbaru sebagai pengangkutan komponen kereta. SEAT bekerjasama dengan Grupo Sesé untuk program rintis penghantaran komponen dari pusat logistik ke bahagian pemasangan dalam masa 15 minit sahaja.

Projek ini turut dilaksana di bawah penyeliaan Agensi Keselamatan Penerbangan Sepanyol (AESA).

Kaedah yang digunakan tidak rumit. Bahagian pemasangan kereta memerlukan stereng spesifik dan arahan diaktifkan. Pesanan diterima di Pusat Logistik Grupo Sesé dan stereng tersebut dimuatkan ke dalam bekas gentian karbon dengan berat 5.5 kg.

Bekas tersebut dipasang kemas pada dron dengan elektromagnet dan sedia untuk diterbangkan dari tapak pelancaran.

Dron dengan ukuran diameter 1.7 meter diterbangkan sejauh dua kilometer ke destinasi pemasangan. Ia terbang secara autonomi pada ketinggian 95 meter di atas bumbung kilang dengan kelajuan 40 km/j.

Tempoh yang diambil dari pelepasan sehingga penghantaran ke destinasi memakan masa empat minit. Keseluruhan proses dari pesanan sehingga stereng tersebut sedia untuk dipasang pula hanya memerlukan tempoh 15 minit sahaja.

Inovasi ini bukan sahaja cekap tetapi turut mengurangkan kadar emisi C02 sehingga satu tan setahun. 

Dron yang digunakan pula sepadan dengan tugas, ia mempunyai enam motor, tiga GPS, enam bateri dan tiga IMU (Inertial Measurement Units).

Program rintis ini hanyalah permulaan sahaja di mana SEAT turut berhasrat untuk memperluaskan lagi kegunaan dron sebagai alat pengangkutan.

Bila sudah berjaya dan terbukti berkesan, kenapa perlu berhenti setakat stereng sahaja bukan?

BACA: TAHUKAH ANDA KOTAK GEAR MANUAL MQ281 DIKELUARKAN OLEH SEAT, BUKAN VW

BACA: SEAT RAIH UNTUNG TERTINGGI DALAM SEJARAH 6 DEKAD (AHLI KUMP. VW)

BACA: NAK BELI KERETA ‘SINGLE SEATER’? RODIN CARS ADA JUAL

Google ads
Back to top button