Buletin

PROTON SUMBANG DRON KEPADA NEPAL, BANTU OPERASI BENCANA BANJIR

PROTON meneruskan komitmennya dalam usaha kemanusiaan antarabangsa apabila menyumbangkan sebuah dron bernilai hampir RM200,000 kepada Kerajaan Nepal bagi membantu operasi tindak balas bencana susulan kejadian banjir yang melanda negara itu baru-baru ini.

Sumbangan berkenaan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu majlis di ibu pejabat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti sebelum dibawa ke Nepal menerusi misi bantuan kemanusiaan Malaysia.

Proses penyerahan diselaraskan oleh NADMA, manakala SMART akan menguruskan penghantaran dron tersebut ke Nepal bersama pasukan yang bakal berlepas ke negara berkenaan.

Selepas diserahkan, aset itu akan menjadi milik Kerajaan Nepal bagi kegunaan operasi bantuan dan pengurusan bencana pada masa hadapan.

Dron berkenaan mampu membantu pasukan penyelamat menjalankan pemantauan udara di kawasan terjejas, termasuk lokasi yang sukar diakses melalui laluan darat. Teknologi itu membolehkan penilaian situasi dilakukan dengan lebih cepat dan tepat, sekali gus memudahkan perancangan operasi serta pengagihan bantuan.

PROTON diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation Sdn Bhd (PICSB), Edmund Lim Meng Thong, manakala NADMA diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Meor Ismail Meor Akim.

Turut hadir pada majlis itu ialah wakil Kementerian Luar Negeri, termasuk Setiausaha Pertama Bahagian Asia Selatan dan Asia Tengah, Choo Hwai Jeng, serta Ketua Komunikasi Korporat Bahagian Komunikasi dan Diplomasi Awam, Zul Izwan Hamzah.

Menurut Edmund, maklumat yang tepat mengenai keadaan di kawasan bencana amat penting bagi memastikan operasi menyelamat dan bantuan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Katanya, penggunaan dron membolehkan pasukan penyelamat mendapatkan gambaran menyeluruh dari udara, terutama di kawasan yang berisiko atau sukar dimasuki dalam tempoh segera selepas bencana berlaku.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan SMART akan memberikan latihan pengendalian dron kepada agensi berkaitan di Nepal bagi memastikan teknologi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Harapan kami agar sumbangan ini bukan sahaja membantu operasi bantuan semasa, malah menyumbang kepada peningkatan keupayaan pengurusan bencana Nepal dalam jangka panjang,” katanya.

PROTON juga mempunyai kehadiran di Nepal menerusi pengedar sahnya, Jagdamba Motors, yang mewakili jenama Proton e.MAS.

Sejajar dengan perkembangan jenama itu di negara berkenaan, syarikat automotif nasional tersebut berharap dapat terus menyokong masyarakat setempat, khususnya ketika berdepan situasi mencabar akibat bencana alam.

Google ads
Back to top button