Buletin

DRON GERGASI CIPTAAN UTHM MASUK MBR. BERAT CECAH 400 KG

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) menerusi ciptaan dron gergasi seberat 400 kilogram (kg).

Ketua projek, Profesor Dr Zamri Omar berkata, inovasi terbaru dikenali sebagai C-Drone dihasilkan kumpulan penyelidik UTHM dan mampu membawa muatan seberat 200 kilogram (kg).

“Ciptaan dron gergasi berkenaan sekali gus berjaya mencipta rekod dalam MBR bagi kategori ‘beban terberat yang boleh diangkat oleh sesebuah dron’.

“Projek berkenaan memakan masa kurang dua tahun dan turut dibantu sekumpulan pelajar dan penasihat pakar daripada universiti tempatan dan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan dimulakan dengan aktiviti analisis dan reka bentuk, simulasi, fabrikasi komponen, pemasangan, integrasi sistem dan pengujian terbang.

“Semua perkara berkenaan dilaksanakan di dalam fasiliti makmal projek C-Drone yang di kampus induk Batu Pahat.

“C-Drone digerakkan oleh kuasa bateri dan ia jenis Multirotor Vertical Takeoff and Landing (VTOL).

“Saiz prototaip dron kargo UTHM berkenaan kira-kira lima meter panjang, lima meter lebar dan dua meter tinggi, manakala beratnya sekitar 400 kg,” katanya.

Zamri berkata, projek pembangunan C-Drone itu bertujuan menghasilkan suatu proof of concept (POC) iaitu bagi membuktikan konsep reka bentuk dan sistem dron kargo besar berkenaan boleh dibina dan berupaya beroperasi dengan baik.

“Dana projek C-Drone berkenaan diperoleh daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan sebahagian daripadanya dibiayai pihak UTHM sendiri.

“Kejayaan UTHM mencipta dan melaksanakan pengujian awal prototaip C-Drone ini, diharap dapat menjadi motivasi dan membuka ruang bagi universiti serta pihak industri yang berminat bekerjasama mengembangkan potensi dron berkenaan ke arah pengkomersialan,” katanya. – BH

Google ads
Back to top button