
TAHUKAH ANDA KOTAK GEAR MANUAL MQ281 DIKELUARKAN OLEH SEAT, BUKAN VW
Apabila Volkswagen mengumumkan penawaran kotak gear manual MQ281 baharu ia disambut dengan positif oleh wargamaya. Berita tersebut hadir dicelah-celah populariti kotak gear automatik, CVT dan klac berkembar.
Kotak gear manual enam kelajuan itu lebih senyap dan kurang gegaran serta mesra alam dengan penjimatan sehingga lima gram CO2 untuk setiap satu kilometer, bergantung kepada kombinasi enjin dan transmisi.
Model pertama yang akan menggunakan MQ281 ialah Passat baharu dan kemudian disusuli oleh pelbagai model dalam Kumpulan Volkswagen.
Apabila menyebut Kumpulan Volkswagen, ia tidak hanya merujuk kepada jenama Volkswagen secara tunggal tetapi juga subsidiari lain seperti SEAT, Škoda Auto dan pelbagai lagi nama hebat.
Satu lagi definisi ialah kotak gear MQ281 tidak semestinya dikilangkan oleh VW dan mungkin juga subsidiari lain. Memang iya, MQ281 dikilangkan oleh SEAT Componentes dan pengeluaran sudah pun bermula di Sepanyol.
Kotak gear baharu itu akan digunakan untuk pelbagai model di bawah SEAT, Volkswagen, Audi dan Škoda.
Keputusan tersebut adalah pengiktirafan daripada Kumpulan Volkswagen kepada SEAT Componentes di atas usaha beberapa tahun kebelakangan ini dalam memperbaiki kecekapan dan meningkatkan produktivi.
Kilang SEAT Componentes yang mengeluarkan MQ281 terletak di El Prat de Llobregat berhampiran lapangan terbang Barcelona dan pada tahun lalu berjaya menghasilkan hampir 700,000 kotak gear MQ200 dengan 56 peratus daripadanya untuk pasaran eksport.
SEAT Componentes adalah satu daripada sembilan pusat kemudahan yang khusus dalam mengeluarkan transmisi di dalam Kumpulan Volkswagen.

Lapan lagi kilang ialah di Kassel, Jerman, Vrchlabi dan Mladá Boleslav, Repubik Czech, Córdoba, Argentina dan Anting, Dalian, Tianjin dan Changchun, China.
Kapasiti pengeluaran sehari SEAT Componentes ialah sebanyak 3,500 unit dan kilang tersebut mempunyai lebih daripada 1,000 pekerja dengan keluasan 155,000 meter persegi.
Apa yang boleh dipelajari di sini ialah, untuk berjaya dengan gemilang di dalam bidang pembuatan atau automotif, skala ekonomi perlu diwujudkan supaya kos menjadi rendah.
Pada tahun 2018, jualan Kumpulan Volkswagen ialah sebanyak 10,834,000 unit.
Berada di dalam kumpulan automotif yang besar juga bagus apabila khidmat diperlukan dalam sama-sama membuat untung.
Resepi skala ekonomi dan pembahagian tanggungjawab begini sebenarnya sama sahaja dengan satu lagi gergasi lain iaitu Toyota Motor Corporation.
- BACA: VW HASILKAN KOTAK GEAR MANUAL BAHARU (LONG LIVE MANUAL!)
- BACA: VW GOLF GTI – FULLY LOADED!
- BACA: ŠKODA SUPERB ’19, RINGKAS BERGAYA (SEPUPU VW PASSAT)
- BACA: #IKLANPILIHAN. VW GOLF GTi 2.0 RM39,999