Buletin

SINDIKET SELUDUP TAYAR: AKAUN BANK RM70 JUTA DISITA, 17,672 TAYAR DIRAMPAS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita enam gudang dan beberapa kontena dengan anggaran rampasan sebanyak 17,672 biji tayar bagi siasatan membabitkan sindiket penyeludupan tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport.

Tindakan itu susulan operasi menggempur syarikat-syarikat berkaitan yang menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah RM350 juta sejak tahun 2020 hingga 2025.

Menurut sumber, enam gudang dan kontena yang disita itu melibatkan dua syarikat utama.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut mendapati terdapat penipuan label, pengenyahan kod bar (barcode removal), pembelian menerusi pengedar tidak sah, tayar tidak didaftarkan, penyeludupan atau import tidak sah, yang boleh menyebabkan keselamatan pengguna berada pada risiko berbahaya.

“Pemeriksaan dilakukan bersama wakil teknikal daripada jenama masing-masing seperti Toyo Tires, Yokohama, Bridgestone, Michelin, Pirelli, Continental, Dunlop dan Maxxis serta disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), SIRIM serta SPRM.

“Tujuan pemeriksaan ini adalah untuk mengenal pasti ketulenan tayar yang dijual dan disimpan di pasaran tempatan, mengesahkan pematuhan terhadap piawaian keselamatan (DOT, TOT, E-Mark, CCC, SIRIM), mengesan penjualan tayar melalui saluran tidak sah atau tidak berdaftar serta menilai risiko keselamatan tayar kepada pengguna,” katanya pada Isnin.

Sehingga kini, SPRM telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan akaun syarikat berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM70 juta.

Tambah sumber itu lagi, beberapa aset turut disita kerana disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram, termasuk enam lot tanah yang dijadikan tapak gudang dan kontena bernilai RM4.5 juta; dua unit rumah teres dua tingkat bernilai RM2 juta; satu unit rumah jenis townhouse bernilai RM2 juta; dan satu unit rumah kedai empat tingkat bernilai RM4 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat berkenaan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Pada 29 September lalu, Ops Grip yang diketuai BOK SPRM telah dijalankan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di 23 lokasi sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Serbuan bersepadu itu dijalankan terhadap syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport tayar, gudang dan kontena penyimpanan tayar. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button